Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HDB perluas konsep dapur terbuka bagi semua projek BTO mulai Feb

Bermula dengan projek Bina-Ikut-Tempahan (BTO) pada bulan ini, semua projek baru BTO akan dilengkapi dengan konsep dapur terbuka selagi reka bentuk flat mengizinkannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 04 Feb 2018 04:32PM Dikemas Kini : 04 Feb 2018 09:41PM

SINGAPURA: Bermula dengan projek Bina-Ikut-Tempahan (BTO) pada bulan ini, semua projek baru BTO akan dilengkapi dengan konsep dapur terbuka selagi reka bentuk flat mengizinkannya, demikian diumumkan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Dalam satu kenyataan media, HDB menyatakan bahawa langkah tersebut diambil sedang konsep dapur terbuka semakin popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan tujuh daripada 10 pembeli flat BTO memilih dapur terbuka sejak pilihan tersebut pertama kali ditawarkan pada September 2012.

Dengan menyediakan dapur terbuka, projek-projek BTO menawarkan lebih banyak pilihan dan kelonggaran kepada para pembeli rumah, dari segi bagaimana mereka mahu memanfaatkan dan mereka bentuk ruang serta menyusun perabot mengikut keperluan gaya hidup mereka, menurut kenyataan media itu.

Menurut HDB lagi, pilihan sebegini mengurangkan beban dan kos terhadap pembeli rumah bagi memecahkan tembok untuk mewujudkan ruang dapur terbuka. Malah, para pembeli flat juga boleh menyusun perabot dengan cara yang lebih kreatif, selain menetapkan dapur, tempat makan dan ruang tamu berdasarkan citarasa mereka sendiri.

HDB pertama kali merintis konsep dapur terbuka bagi flat-flat di Teck Ghee Parkview semasa melancarkan penjulan BTO pada September 2012. Pembeli flat juga diberi pilihan untuk mendirikan tembok di bawah Skim Komponen Pilihan (OCS).

Pembeli flat hanya perlu membayar bagi pilihan yang diambil. Misalnya, sekiranya mereka memilih untuk tidak mendirikan tembok, mereka tidak perlu membuat bayaran. Menurut HDB, sekitar 70 peratus pembeli flat memilih untuk tidak mendirikan tembok.

Berdasarkan maklum balas positif, HDB memutuskan untuk menawarkan konsep dapur terbuka bagi projek-projek BTO yang dapat menampung reka bentuk sedemikian sejak penjualan flat BTO pada September 2013.

Orang ramai boleh meninjau-ninjau flat pameran HDB dengan konsep dapur terbuka di Galeri My Nice Home di Hab HDB. Mereka juga boleh berbuat demikian secara online melalui HDB InforWEB ataupun menerusi aplikasi Mobile@HDB.  

Sumber : CNA/SM/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan