Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HDB lanjutkan penggantungan denda bayaran lewat pinjaman; rebat 50% bagi bayaran flat sewa

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan melanjutkan penggantungan denda bayaran lewat bagi pinjaman HDB hingga 31 Mac 2021 untuk membantu isi rumah menangani kesan ekonomi akibat pandemik COVID-19, kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee pada Khamis (1 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
HDB lanjutkan penggantungan denda bayaran lewat pinjaman; rebat 50% bagi bayaran flat sewa

(Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 01 Oct 2020 03:17PM Dikemas Kini : 01 Oct 2020 03:19PM

SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan melanjutkan penggantungan denda bayaran lewat bagi pinjaman HDB hingga 31 Mac 2021 untuk membantu isi rumah menangani kesan ekonomi akibat pandemik COVID-19, kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee pada Khamis (1 Okt).

Ini adalah kali kedua penggantungan itu dilanjutkan. HDB menggantung denda bayaran lewat buat pertama kali pada 1 April untuk tiga bulan, dan kemudian melanjutkan penggantungan itu hingga 30 September.

Mulai 5 Oktober, mereka yang menggunakan pinjaman HDB boleh juga melanjutkan tempoh pembayaran hutang mereka hingga usia 65 tahun jika mereka perlu membuat penyesuaian jangka panjang kepada aliran tunai mereka, kata Encik Lee dalam satu kenyataan di Facebook.

Buat masa ini, tempoh pinjaman HDB dihadkan kepada 25 tahun.

Mereka yang menghadapi masalah dengan tunggakan bayaran patut menghubungi HDB untuk menghuraikan pilihan pembayaran mereka, tambahnya beliau.

BANTUAN BAGI PENGHUNI FLAT SEWA

Encik Lee berkata HDB juga akan membantu isi rumah yang tinggal di flat sewa awam dengan menyediakan rebat sewa 50 peratus untuk tiga bulan, dari 1 Oktober hingga 31 Disember. HDB juga akan terus menggantung denda bagi bayaran sewa lewat sehingga hujung Mac tahun depan.

Dari April hingga Ogos, kira-kira 2,500 isi rumah mendapatkan bantuan kewangan yang ditawarkan oleh HDB, seperti menangguhkan ansuran pinjaman mereka, atau mengurangkan jumlah yang perlu dibayar bagi setiap ansuran, dedah Encik Lee.

"Pandemik COVID-19 telah meninggalkan kesan serius pada ekonomi kita, dan menjejas pekerjaan dan mata pencarian ramai orang," tulisnya.

"Keadaan ekonomi berkemungkinan kekal sukar untuk waktu yang lama. Atas sebab itu, beberapa isi rumah menghadapi masalah membayar pinjaman perumahan mereka."

Kementerian Pembangunan Negara (MND) akan terus memantau keadaan dengan teliti dan mengkaji semula langkah-langkahnya untuk menolong isi rumah yang menghadapi masalah kewangan, kata Encik Lee.

Bagi pemilik flat HDB yang menggunakan pinjaman bank, Penguasa Kewangan Singapura akan mengumumkan langkah sokongan tidak lama lagi, tambahnya.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan