Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HDB bina lebih banyak flat baru tahun depan, penuhi permintaan lebih tinggi

Lebih banyak flat akan dibina tahun depan demi memenuhi permintaan yang lebih tinggi bagi perumahan awam, kata Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong pada Isnin (16 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Dec 2019 02:54PM Dikemas Kini : 16 Dec 2019 11:05PM

SINGAPURA: Lebih banyak flat akan dibina tahun depan demi memenuhi permintaan yang lebih tinggi bagi perumahan awam, kata Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong pada Isnin (16 Dis).

Antara 16,000 hingga 17,000 flat Bina Ikut Tempahan(BTO) akan dilancarkan tahun depan, meningkat daripada 14,600 flat tahun ini, katanya.

Dalam catatan di blog kementeriannya, Encik Wong berkata bahawa Pemerintah sedang "menggandakan usaha kami untuk membina rumah flat yang dimampui dan tempat tinggal yang baik untuk semua warga Singapura".

Dua langkah dasar utama diambil pada bulan September tahun ini untuk membantu pasangan muda membeli rumah pertama mereka - had pendapatan untuk membeli flat baru dinaikkan dan Geran Perumahan CPF Dipertingkat diperkenalkan.

Had pendapatan isi rumah untuk flat BTO dinaikkan dari S$12,000 kepada S$14,000, dan dari S$14,000 kepada S$16,000 bagi mereka yang membeli unit Kondominium Eksekutif (EC).

Di bawah Geran Perumahan CPF Dipertingkat, keluarga-keluarga boleh menerima geran bernilai sehingga S$80,000 apabila mereka membeli flat HDB baru, dan sehingga S$160,000 dalam bentuk geran apabila mereka membeli flat jualan semula di pasaran terbuka.

"Perubahan-perubahan ini akan membawa kepada permintaan yang lebih besar untuk perumahan awam," kata Encik Wong.

Menteri itu menambah bahawa sepanjang tempoh lima tahun yang lalu, kira-kira 150,000 keluarga menempah atau mendapat kunci rumah pertama mereka.

Kebanyakan keluarga ini membeli flat baru di estet-estet tidak matang seperti Punggol, Sengkang atau Tengah.

Flat-flat tersebut dijual pada harga "diskaun", lantaran itu kebanyakan pembeli flat di estet-estet baru yang tidak matang hanya perlu mengeluarkan wang tunai yang sedikit atau tidak sama sekali bagi bayaran pinjaman bulanan rumah mereka, tambah Encik Wong.

KEMENTERIAN KAJI MAKLUM BALAS TENTANG VERS

Encik Wong juga berkata Kementerian Pembangunan Negara sedang menyediakan perincian pelaksanaan Skim Pembangunan Awal Secara Sukarela (VERS) dan akan "berkongsi lebih lanjut apabila ia sudah siap".

Di bawah skim tersebut, yang diumumkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam Rapat Umum Hari Kebangsaannya, Pemerintah akan membeli semula flat lebih tua sebelum tempoh pajakan 99 tahun tamat dan membayar pampasan kepada para penduduk yang flatnya diambil semula awal.

Para penduduk yang perlu mengundi untuk VERS, boleh menggunakan pendapatan itu untuk membeli sebuah flat baru.

Pihak kementerian menerima beberapa cadangan alternatif kepada VERS, termasuk cara-cara berbeza untuk menguruskan tamat tempoh pajakan HDB, kata Encik Wong, sambil menambah bahawa ia akan mengkaji maklum balas itu dengan lebih terperinci.

"Perlu diingatkan bahawa di antara cadangan-cadangan yang berbeza ini, ada persamaan tentang beberapa asas utama. Khususnya, terdapat pengiktirafan meluas tentang keperluan bagi pembaharuan bandar di bandar kita yang kekurangan tanah, agar tapak binaan dapat dikitar semula, dan flat-flat baru boleh dibina untuk generasi akan datang.

"Inilah sebabnya sebahagian besar ruang tanah kita adalah berdasarkan pajakan, tidak kira untuk hartanah kediaman privet mahukpun awam," tulis Encik Wong.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan