Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hazeem Nasser ketuai usaha murni sekumpulan belia bela nasib penjaja tisu jalanan

Antara kumpulan masyarakat yang cukup terganggu oleh pandemik COVID-19 adalah para penjaja tisu yang lazimnya terdiri dari kalangan golongan daif dan memerlukan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Antara kumpulan masyarakat yang cukup terganggu oleh pandemik COVID-19 adalah para penjaja tisu yang lazimnya terdiri dari kalangan golongan daif dan memerlukan.

Semasa Singapura menjalani langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 atau 'circuit breaker' dan rakyat diperintah duduk rumah, hampir semua orang bekerja dari rumah.

Bagaimanapun, bekerja dari rumah merupakan satu perkara yang mustahil bagi golongan kurang berdaya seperti para penjual tisu.

Atas kesedaran ini, enam mahasiswa dari Kolej Yale-NUS (Universiti Nasional Singapura) menyinsing lengan untuk membantu dan membela para penjual tisu itu menerusi inisiatif The Signpost Project (TSP).

(Gambar: Facebook/Eric Chua)

(Gambar: Eric Chua/Facebook)

Mereka dipimpin oleh mahasiswa berusia 23 tahun bernama Nur Hazeem Abdul Nasser. Hazeem adalah Presiden TSP.

"Saya ingat pada musim pemutus litar, ada satu keluarga di mana isterinya kehilangan kerja. Jadi suaminya terpaksa bekerja menjual tisu demi menampung anak-anak mereka yang masih belajar," cerita Hazeem tentang nasib penjaja tisu yang didekati pasukannya.

RUJUK PENJUAL TISU KEPADA AGENSI-AGENSI BANTUAN

Bagi para penjual tisu yang menghadapi cabaran sebegini, TSP akan menghubungkan mereka kepada agensi-agensi bantuan yang tersedia di Singapura.

Ini bagi memastikan golongan ini mendapat akses kepada sumber-sumber sokongan dan bantuan sosial.

Selain membantu para penjual tisu dirujukkan kepada agensi-agensi bantuan yang relevan, mereka juga berusaha meningkatkan kesedaran mengenai nasib golongan ini serta menggalak anggota masyarakat supaya berkawan dan lebih bersikap ihsan kepada mereka.

(Gambar: The Signpost Project)

(Gambar: The Signpost Project)

Sejauh ini, TSP sudah mendekati dan mendampingi 16 penjual tisu, kebanyakan daripada mereka berdepan dengan masalah kewangan atau mobiliti.

Baru-baru ini, projek tersebut mendapat sokongan kewangan dari oscar@sg, iaitu dana amanah kendalian Temasek Trust.

100 'BUNGKUSAN JAGAAN KESIHATAN' AKAN DIAGIHKAN

Di bawah sokongan oscar@sg, TSP akan mengagihkan 100 'bungkusan jagaan kesihatan' yang mengandungi cecair pembasmi kuman, pelitup muka, krim pelindung matahari dan baju hujan untuk para penjaja tisu jalanan. Ini untuk mereka gunakan demi melindungi kesihatan dan diri mereka.

(Gambar: The Signpost Project)

(Gambar: The Signpost Project)

Bungkusan itu akan diagihkan pada 20 Mac nanti di Clementi Mall dan Jurong East.

Dana dana tersebut juga dapat menguatkan usaha jangkauan TSP yang kini boleh membantu lebih ramai penjual tisu di luar kawasan tumpuan mereka.

"Tumpuan kami sekarang adalah kawasan Clementi, Jurong East, Hougang dan Kovan. Tetapi dengan dana oscar@sg ini, kami dapat pergi ke kawasan seperti Toa Payoh dan Ang Mo Kio," kata Hazeem.

TSP juga aktif di media sosial dan menggunakan wadah itu untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap cabaran-cabaran yang dihadapi oleh para penjual tisu.

DISKRIMINASI TERHADAP PENJAJA TISU?

Hazeem berkata kadangkala terdapat anak-anak yang mahu membeli tisu yang dijual para penjaja jalanan itu. Namun ibu bapa mereka "tidak selesa" dan enggan anak mereka berbuat demikian.

Ini menurut Hazeem merupakan semacam diskriminasi terhadap para penjaja tisu jalanan. Cerita-cerita seperti ini mahu dikongsi The Signpost Project agar orang ramai sedar apa yang berlaku.

Para mahasiswa itu berharap dengan berkongsi kisah-kisah dan nasib penjaja-penjaja tisu, golongan yang kurang diberi perhatian itu tidak akan terus dipandang sebelah mata sahaja oleh masyarakat.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan