Images
  • whatsapp (1)
    (Gambar: Dado Ruvic/Reuters)

Hati-hati, sekurang-kurangnya 10 aduan akaun WhatsApp digodam pada Januari: Polis

SINGAPURA: Polis menerima sekurang-kurangnya 10 aduan mengenai akaun WhatsApp yang digodam penipu pada Januari, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan hari ini (11 Jan).

Dalam kes tersebut, mangsa akan menerima mesej WhatsApp yang meminta kod pengesahan akaun WhatsApp mereka, menurut polis. Teks tersebut dihantar melalui mesej pesanan dari kenalan mereka yang akaunnya digodam.

Mangsa kemudian tidak dapat mengakses akaun WhatsApp mereka sendiri setelah memberikan kod kepada penipu, tambah polis.

Menurut polis, penipu tersebut akan menggunakan akaun WhatsApp yang digodam untuk memperdaya mangsa membuat pemindahan wang atau menghantar "Money Online points". Akaun yang digodam juga digunakan untuk membeli kad hadiah dan menghantar kata kunci bagi kad-kad tersebut.

"Pihak penipu kemudian menjual kad tersebut secara online," menurut SPF lagi.

Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada terhadap permintaan luar biasa yang dibuat menerusi WhatsApp walaupun ia datang daripada kenalan mereka sendiri.

Mereka juga patut mengesahkan kesahihan permintaan tersebut dengan menelefon kenalan mereka dan menghidupkan ciri pengesahan dua langkah pada app itu.

Mereka yang mempunyai maklumat tentang kes-kes penipuan sedemikian boleh menghubungi polis di hotline 1800-255-0000 atau hantar maklumat ke laman www.police.gov.sg/iwitness.

Untuk memohon nasihat berhubung kes penipuan, anda boleh menelefon hotline 1800-722-6688 atau ke laman www.scamalert.sg.

- CNA/TQ/ai

Top