Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Hasil pengilangan S'pura tumbuh 16.9% selepas kuncup bulan lalu

Hasil pengilangan Singapura meningkat pada Oktober, selepas menguncup bulan lalu, menurut perangkaan rasmi hari ini (26 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 26 Nov 2021 02:26PM Dikemas Kini : 26 Nov 2021 11:43PM

SINGAPURA: Hasil pengilangan Singapura meningkat pada Oktober, selepas menguncup bulan lalu, menurut perangkaan rasmi hari ini (26 Nov).

Hasil pengilangan naik 16.9 peratus dari tahun ke tahun pada Oktober, menyusuli kemerosotan 3.4 peratus pada September. Tidak termasuk pengilangan bioperubatan, hasil pengilangan tumbuh 9.7 peratus, menurut perangkaan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB).

Berdasarkan purata tiga bulan, pengeluaran pengilangan naik lapan peratus pada Oktober berbanding setahun lalu.

Berdasarkan penyesuaian musiman bulan ke bulan, pengeluaran pengilangan tumbuh 2.4 peratus. Tidak termasuk pengilangan bioperubatan, pengeluaran naik 1.5 peratus.

Kelompok pengilangan bioperubatan Singapura meningkat 56.1 peratus pada Oktober, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Segmen farmaseutikal pula tumbuh 93.4 peratus berbanding "dasar penghasilan yang rendah" tahun lalu. Namun, segmen teknologi perubatan jatuh tiga peratus disebabkan permintaan lebih rendah bagi peranti perubatan di sebilangan pasaran eksport.

Pengeluaran kejuruteraan pengangkutan meningkat 35.3 peratus pada Oktober, dengan segmen kejuruteraan marin dan luar pesisir tumbuh 77.6 peratus dengan paras lebih banyak kerja dilakukan dalam pembinaan kapal dan aktiviti pembaikan, berbanding dasar rendah tahun lalu.

Segmen aeroangkasa naik 26.9 peratus sedang permintaan bagi penyenggaraan, pembaikan dan aktiviti baik pulih bertambah baik berbanding setahun lalu, ketika banyak pesawat tidak diterbangkan disebabkan sekatan perjalanan antarabangsa akibat COVID-19, menurut EDB.

PENGELUARAN KIMIA TUMBUH

Hasil pengeluaran kimia tumbuh 15.3 peratus dari tahun ke tahun pada Oktober, dengan semua segmen mencatat pertumbuhan, menurut EDB.

Segmen petrokimia dan petroleum masing-masing tumbuh 16.9 peratus dan 15.7 peratus berbanding setahun lalu, ketika pengeluaran rendah akibat penutupan disebabkan penyenggaraan loji serta permintaan eksport yang melemah di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Segmen kimia lain pula naik 11.7 peratus disebabkan pengeluaran lebih tinggi minyak wangi, manakala segmen khusus tumbuh 9.3 peratus dengan pengeluaran lebih tinggi minyak tambahan.

Pengeluaran bagi kejuruteraan jitu pula melonjak 9.1 peratus pada Oktober. Segmen jentera dan sistem meningkat sebanyak 19.6 peratus dengan pengeluaran lebih tinggi peralatan semikonduktor untuk menyokong pelaburan lebih kukuh dalam industri semikonduktor.

Namun, segmen modul-modul dan komponen jitu jatuh 11.2 peratus dengan pengeluaran lebih rendah produk optik.

Pengilangan elektronik naik 6.5 peratus dengan semua segmen mencatat pengeluaran lebih tinggi.

Kelompok pengilangan am tumbuh 0.8 peratus pada Oktober. Pengeluaran bagi industri barangan pelbagai ,melonjak 20.2 peratus berbanding dasar rendah tahun lalu, semasa permintaan bagi produk-produk binaan sangat terjejas oleh COVID-19.

Namun, segmen percetakan jatuh 8.2 peratus manakala segmen makanan, minuman dan tembakau menguncup 10.3 peratus disebabkan penutupan loji bagi penyenggaran dan pengeluaran lebih rendah produk susu angkara permintaan lemah eksport.

Laporan bulanan pengilangan yang seterusnya oleh EDB akan dikeluarkan pada 24 Disember.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan