Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hari Raya COVID-19: Kerjasama MCI, MUIS sokong keperluan agama masyarakat Melayu/Islam

Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) hari ini (21 Mei) menjelaskan bahawa permintaan untuk menyiarkan takbir dan khutbah Hari Raya di televisyen tidak dapat dilakukan atas kod televisyen Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).

Anggaran Waktu Membaca:
Hari Raya COVID-19: Kerjasama MCI, MUIS sokong keperluan agama masyarakat Melayu/Islam

(Gambar: Alif Amsyar)

Diterbitkan : 21 May 2020 11:06PM Dikemas Kini : 21 May 2020 11:15PM

SINGAPURA: Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) hari ini (21 Mei) menjelaskan bahawa permintaan untuk menyiarkan takbir dan khutbah Hari Raya di televisyen tidak dapat dilakukan atas kod televisyen Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).

Menurut MCI, pihaknya menerima banyak permintaan agar takbir dan khutbah Hari Raya dapat disiarkan melalui televisyen.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, MCI menyatakan kod televisyen bebas-ke-udara IMDA tidak membenarkan kandungan agama disiarkan bagi mengekalkan khidmat penyiaran awam sekular dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di sini.

Namun begitu, Pemerintah sedang bekerjasama dengan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) untuk menganjurkan beberapa insiatif supaya masyarakat Melayu/Islam tidak terlepas daripada menyempurnakan keperluan agama masyarakat Melayu / Islam semasa Hari Raya Aidilfitri.

TAKBIR, KHUTBAH HARI RAYA DISIARKAN SECARA LANGSUNG ONLINE

Buat pertama kalinya, takbir dan khutbah Hari Raya akan disiarkan "live" pada malam raya di saluran SalamSG TV, di YouTube yang dikendalikan Muis dan akaun Facebook masjid-masjid tempatan.

Pada Hari Raya Aidilifitri, takbir dan khutbah Mufti juga akan disiarkan secara langsung pada wadah-wadah tersebut.

Stesen radio Warna 94.2FM juga akan menyiarkan secara langsung takbir pada malam Raya serta takbir dan khutbah Mufti pada pagi Hari Raya Aidilfitri.

Selain itu, siaran program agama di Warna 94.2FM yang sebelum ini dihadkan kepada sejam sehari, ditambah 10 minit sejak masjid-masjid ditutup disebabkan oleh langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Ini akan dikekalkan sehingga masjid dibuka kembali sepenuhnya.

RANCANGAN KHAS HARI RAYA DI SALURAN 5, SURIA PADA MALAM RAYA

MCI juga sedang bekerjasama dengan Mediacorp bagi membawakan kandungan Hari Raya yang menarik pada malam Raya sendiri.

Rancangan khas sempena Hari Raya akan ditayangkan di Saluran 5 dan Suria pada malam Raya, masing-masing pada pukul 9:30 malam dan pukul 8:15 malam.

Ini termasuk ucapan khas Hari Raya oleh Presiden Halimah Yacob, Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli.

Ucapan itu sebahagian daripada rancangan hiburan yang bertujuan menyatukan rakyat dan menyemarakkan lagi semangat sambutan Hari Raya di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Sinar Lebaran yang ditayangkan setiap tahun akan menampilkan artis-artis kegemaran Singapura termasuk Taufik Batisah, Sufi Rashid, Wann dan Hanafie Warren yang akan membuat persembahan dari rumah masing-masing.

Sumber : CNA/SY/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan