Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hari pertama jururawat dibenar bertudung: SingHealth kehabisan stok tudung

Semua farmasi di hospital dan poliklinik kendalian SingHealth di merata Singapura kini kehabisan stok tudung yang direka khas buat para kakitangan jagaan kesihatan Muslim. Ini sedang jururawat Muslim mula dibenarkan memakai tudung bersama uniform mereka hari ini (1 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Semua 11 farmasi di hospital dan poliklinik kendalian SingHealth di merata Singapura kini kehabisan stok tudungnya. Tudung tersebut direka khas buat para kakitangan Muslimnya.

Ini sedang jururawat Muslim mula dibenarkan memakai tudung bersama uniform mereka hari ini (1 Nov).

SingHealth - terdiri daripada lapan poliklinik, lima pusat perubatan serta tujuh hospital masyarakat dan hospital awam termasuk Hospital Besar Singapura (SGH) dan Hospital KK bagi Wanita dan Kanak-Kanak (KKH) - merupakan satu-satunya kelompok jagaan kesihatan yang mengeluarkan tudung rekaannya sendiri sejauh ini.

Ditanya BERITAmediacorp mengenai bilangan stok tudung yang sudah habis dijual itu, SingHealth tidak memberikan jawapan. Namun menurutnya, tudung-tudung tersebut hanya mula dijual pada 28 Okt, iaitu empat hari lalu.

(Gambar: SingHealth)

Bagaimanapun sumber-sumber memberitahu kami bahawa "tudung yang diluluskan SingHealth" itu habis di SGH dan Hospital Besar Changi (CGH) pada hari pertama ia dijual. Menurut poster SingHealth, ia dijual pada harga tawaran S$13.90 buat masa ini berbanding harga asal S$19.00.

Kesemuanya lebih 7,000 kakitangan jagaan kesihatan wanita Muslim dalam sektor perubatan awam kini dibenarkan memakai tudung jika mereka mahu.  

NUHS BELUM DEDAHKAN REKAAN, BILA TUDUNGNYA DIJUAL

Kelompok Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) - yang terdiri daripada Hospital Besar Ng Teng Fong, Hospital Alexandra, Hospital Masyarakat Jurong dan NUH - juga akan mengeluarkan tudung rekaannya tidak lama lagi. Pihak NUHS belum lagi mendedahkan tarikh tudungnya akan mula dijual tetapi ia akan ditawarkan bermula bulan ini - dalam warna biru, hitam dan kelabu gelap.

Kumpulan Jagaan Kesihatan Kebangsaan (NHG) pula, yang antara lain terdiri daripada Hospital Tan Tock Seng, membolehkan para kakitangannya memakai tudung sendiri asalkan ia memenuhi garis pandu yang ditetapkan. Jururawat juga cuma boleh memakai tudung berwarna hitam, biru gelap dan putih - warna-warna yang dipersetujui para kakitangan kerana ia sepadan dengan uniform masing-masing.

TEMPAHAN DIBUKA BAGI TUDUNG SINGHEALTH

Bagi para kakitangan SingHealth, mereka masih boleh membuat tempahan meski farmasi-farmasi yang menjualnya kini kehabisan stok tudung.

Dalam poster yang ditampal di farmasi-farmasi institusi SingHealth tertulis: "Jumlah (tudung) terbatas disebabkan jadual pengeluaran yang padat tetapi lebih banyak stok akan disediakan dalam waktu terdekat."

SingHealth bagaimanapun memberitahu BERITAmediacorp bahawa pihaknya belum dapat menentukan bila paling awal semua tempahan pembeli akan dapat dipenuhi.

Namun demikian, para jururawatnya yang ingin memakai tudung bersama seragam masing-masing mulai hari ini (1 Nov) masih boleh berbuat demikian. Ini kerana para kakitangan Muslim dibolehkan memakai tudung sendiri asalkan ia memenuhi garis pandu yang ditetapkan SingHealth.

SETIAP JURURAWAT SUDAH DAPAT SEKURANG-KURANGNYA SEHELAI

Bagi jururawat klinisian CGH, Cik Nur Hafizah Abdul Aziz, beliau dalam kalangan jururawat yang memilih untuk memakai tudung pada hari pertama mereka dibolehkan berbuat demikian. Tudung yang dipakainya adalah tudung keluaran SingHealth.

(Gambar: Hospital Besar Changi)

"Di CGH, seseorang ditugaskan untuk membantu mengambil semua tempahan kita - berapa banyak tudung yang kita nak, warna apa. Selepas itu, kami mendapatkannya dari farmasi. Jadi buat masa ini, hampir semua orang mempunyai sekurang-kurangnya satu tudung," kata Cik Hafizah.

Jururawat yang bertugas di jabatan kardiologi itu turut berkongsi beberapa ciri tudung SingHealth.

"Ia tidak berat, ia tidak jarang. Jadi ditutup segalanya. Dan juga di bahagian tepi telinga, ada celah untuk meletakkan kita punya pelitup muka. Ataupun kalau di wad, (celah itu mudahkan) kita pakai stetoskop," terang jururawat yang sudah bertugas di CGH selama 13 tahun itu.

Beliau menambah, bahan tudung keluaran SingHealth mudah serap peluh dan tidak mengganggu sebarang pergerakannya.

"Di bahagian bawah dagu juga ada getah. Jadi ia sesuai untuk semua tidak kira bentuk muka mereka," katanya lagi.

TERUJA, PERCAYA PESAKIT TIDAK NILAI KEUPAYAAN BERDASARKAN SERAGAM

Apa pun, Cik Hafizah begitu ghairah dibenarkan memakai tudung bersama seragamnya.

"Ketua-ketua saya sebelum ini memang dah lama doa untuk dapatkan pilihan memakai tudung. Jadi saya sebagai antara kumpulan yang pertama untuk dapat rasa (pakai tudung), memang sangat teruja dan sangat gembira," luahnya.

(Gambar: Hospital Besar Changi)

Cik Hafizah juga suka warna-warna tudung yang ditawarkan SingHealth, iaitu warna putih, kelabu terang dan kelabu gelap.

"Saya rasa dengan keseragaman ini akan tetap menampilkan diri kita ini sebagai seorang jururawat yang profesional. Warna yang dipilih kena dengan pakaian seragam kita yang berwarna putih. Jadi dia betul-betul seiras lah... jalan seiring, bila kita pakai tu nampak cantik. Segak dan juga profesional."

Lebih daripada itu, Cik Hafizah berharap pemakaian tudung dengan seragam jururawat ini tidak akan menjejas keyakinan para pesakitnya.

"Apa pun yang kami lakukan adalah untuk para pesakit. Tidak kira bangsa atau agama, kami akan terus berikan tahap penjagaan yang sama. Saya percaya pesakit-pesakit kami akan melihat semangat dan dedikasi kami yang melebihi daripada pakaian seragam kami," kata beliau.

HOSPITAL PRIVET TURUT BOLEHKAN KAKITANGAN PAKAI TUDUNG

Hari ini juga, hospital-hospital swasta turut membolehkan para kakitangannya berbuat demikian.

IHH Healthcare Singapore - pengendali Hospital Mount Elizabeth, Hospital Gleneagles dan Hospital Parkway East - menyatakan kakitangannya boleh membeli tudung daripada vendor mereka atau menggunakan tudung sendiri asalkan desain, warna dan fabrik tudung itu serupa dengan tudung keluaran mereka.

Tudung keluaran IHH mempunyai tiga warna, iaitu warna kulit, biru dan juga hitam.

"Ia ringkas," kata Cik Nur Aizzah Mohamed Taib, seorang jururawat am di Hospital Mount Elizabeth.

"Saya besar hati kerana dapat memakai tudung ketika bekerja. Sebabnya saya sebagai seorang muslimah, ia merupakan satu tanggungjawab dari segi agama, dan saya berasa lebih selesa dan yakin apabila memakai seragam dengan tudung."

Sebagai kakitangan hospital swasta, beliau juga awalnya mempunyai kebimbangan sendiri. Meskipun begitu, Cik Aizzah, 23 tahun, membulatkan tekad untuk memakai tudung dengan seragam mulai hari ini (1 Nov).

"Pada mulanya saya tidak berapa yakin untuk memakai tudung kerana hospital ini merupakan hospital swasta di mana banyak pesakit dari luar negara. Jadi kalau kita yang memakai tudung ni, (saya bimbang) mereka akan memandang rendah sedikitlah. Itu pada pendapat saya, saya harap tidaklah.

"Tapi pada saya, datang dari segi hati. Bukan dari segi pemakaian," ujarnya lagi.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan