Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hari Jururawat: Kakitangan barisan hadapan kongsi bagaimana COVID-19 jejas kerja, hidup mereka

Sempena Hari Jururawat, Mediacorp menyorot antara kisah-kisah pengorbanan mereka dalam memikul tugas murni...

Anggaran Waktu Membaca:
Hari Jururawat: Kakitangan barisan hadapan kongsi bagaimana COVID-19 jejas kerja, hidup mereka

Cik Nor Sapiah (kiri) dan Cik Kristina Raja antara jururawat yang bertugas di S'pura (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Diterbitkan : 01 Aug 2020 10:11PM Dikemas Kini : 01 Aug 2020 10:20PM

SINGAPURA: Di merata dunia, penularan COVID-19 membawa kesan luar biasa kepada pekerja barisan hadapan, yang banyak berkorban untuk melaksanakan tugas mereka dalam khidmat penting dan dalam memerangi wabak tersebut.

Sempena Hari Jururawat Singapura yang disambut pada 1 Ogos, Mediacorp meninjau lebih dekat lagi kehidupan dua wanita yang banyak berubah di tengah krisis kesihatan ini.

BERPISAH SECARA MENGEJUT

Cik Kristina Raja dan Cik Nor Sapiah, kedua-duanya jururawat dari Malaysia, sudah empat bulan tidak bertemu dengan keluarga masing-masing sejak negara itu mengenakan perintah kawalan pergerakan untuk mengekang penularan virus korona pada 18 Mac.

Cik Sapiah, 31, sedang bercuti di Malaysia bersama keluarganya ketika berita mengenai perintah kawalan pergerakan diumumkan, menyebabkan beliau terpaksa memilih antara duduk di Malaysia bersama keluarganya atau terus bekerja di Singapura.

"Hari itu juga merupakan ulang tahun perkahwinan kami, jadi saya tidak dapat lupakan," katanya. Cik Sapiah adalah jururawat staf di unit jagaan rapi (ICU) Hospital Mount Elizabeth.

Suami Cik Sapiah meyakinkannyabahawa beliau akan menjaga anak perempuan mereka yang berusia tiga tahun dan menggalakkannya untuk terus memburu kerjaya di Singapura.

Cik Raja, 31, yang merupakan jururawat staf di wad bersalin Hospital Mount Elizabeth, menceritakan kisah serupa.

Beliau mendengar berita tentang sekatan pergerakan di Malaysia pada malam terakhir di kampung halamannya di Teluk Intan, Perak.

PENANTIAN IBARAT TIADA KESUDAHAN

"Kami tahu akan ada (sekatan pergerakan) tetapi kami tidak menyangka mereka akan menutup sempadan antara JB (Johor Baru) dengan Singapura dan kami fikir kami masih boleh berulang-alik setiap hari," katanya sambil menangis.

Cik Raja juga memutuskan untuk kembali ke Singapura untuk bekerja dan melanjutkan pengajiannya separuh masa, meninggalkan suaminya yang baru pulih dari kecederaan dan ibu beliau yang sudah lanjut usia.

"Ia ibarat mimpi buruk ... saya menghabiskan masa dengan suami selama dua jam dan kemudian kembali ke Singapura," katanya.

"Ia hari yang mengerikan ... saya tidak pernah melihat begitu ramai orang dari Malaysia masuk Singapura."

Kedua-dua wanita itu berkata mereka membuat keputusan yang sukar untuk tinggal di Singapura kerana mereka ingin terus bekerja dan suka pekerjaan mereka.

Namun apa yang awalnya mereka sangka hanya perpisahan dua minggu dari keluarga, kini berlarutan beberapa bulan.

"Setiap hari, harapan untuk pulang ke rumah semakin menipis... Ketika (saya pertama kali mengucapkan selamat tinggal kepada suami) saya fikir mungkin dua hingga empat minggu, tetapi saya tidak menyangka kita akan memasuki bulan kelima," keluh Cik Raja.

SOKONGAN RAKAN SEKERJA PEMBAKAR SEMANGAT

Keadaan lebih menyulitkan lagi buat Cik Sapiah, yang dapat tahu bahawa beliau hamil dua minggu setelah penutupan sempadan, dan perlu menghadiri temu janji doktor tanpa suaminya.

Beliau dijadual melahirkan anak keduanya pada November.

Kedua-dua Cik Raja dan Cik Sapiah menelefon keluarga masing-masing setiap hari - ada kalanya berkali-kali sehari ketika mereka mempunyai kelapangan masa atau hari cuti.

Walaupun panggilan itu menceriakan hari mereka, kedua-dua wanita itu mengaku sukar untuk menahan kesedihan mereka dan menunjukkan ketabahan agar keluarga mereka tidak bimbang.

Yang menjadi pembakar semangat pula adalah sokongan yang mereka terima dari rakan dan rakan sekerja di hospital.

Sebagai rakan sebilik, Cik Raja dan Cik Sapiah juga dapat bergantung pada satu sama lain dan berkongsi isi hati dengan seseorang yang melalui cabaran serupa.

Kedua-duanya menginap di hotel berdekatan tempat kerja mereka sebagai sebahagian penginapan yang diatur oleh Parkway Pantai, yang mengendalikan hospital seperti Mount Elizabeth, Gleneagles dan Parkway East.

Cik Raja berkata: “Ketika anda ke wad, itu adalah saat paling gembira. (Para jururawat) akan memesan makanan bersama, masak untuk satu sama lain ... Ada juga yang menawarkan untuk membeli barang untuk jururawat Malaysia yang biasa berulang-alik setiap hari kerana mereka tahu kami tidak membawa banyak barang ke sini.

"Ini menjadikan hidup kita lebih bahagia kerana kita semua jauh dari keluarga."


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan