Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Harga telur naik 4% sepanjang 6 bulan: Chan Chun Sing

Harga telur naik sekitar empat peratus antara Jun dengan November tahun lalu, menurut Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing. Beliau mendedahkan demikian dalam jawapan bertulisnya kepada soalan berhubung punca kenaikan harga telur sepanjang enam bulan lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Harga telur naik 4% sepanjang 6 bulan: Chan Chun Sing

Gambar fail telur (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 14 Jan 2019 11:00PM Dikemas Kini : 14 Jan 2019 11:03PM

SINGAPURA: Harga telur naik sekitar empat peratus antara Jun dengan November tahun lalu, menurut Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing.

Beliau mendedahkan demikian dalam jawapan bertulisnya kepada soalan Anggota Parlimen (AP) tanpa Kawasan Undi Profesor Madya Daniel Goh di Parlimen pada Isnin (14 Jan). Ia berhubung punca kenaikan harga telur sepanjang enam bulan lalu dan sama ada tindakan mengambil keuntungan secara berlebihan adalah faktor penyebabnya.

Encik Chan menjawab bahawa harga telur yang diimport dari beberapa sumber bekalan Singapura naik secara ketara dari Jun hingga November 2018. Sebahagiannya menjulang sehingga 50 peratus.

"Namun, kita juga mempunyai sumber import lain yang harganya sama ada kekal stabil atau turun sedikit sehingga tujuh peratus. Lantaran itu, harga jualan runcit bagi telur naik sekitar empat peratus sepanjang tempoh yang sama," kata beliau.

Encik Chan menambah bahawa harga telur dan semua bahan makanan, ditentukan oleh pelbagai faktor termasuk harga import, kadar pertukaran wang asing, kos logistik dan keuntungan yang ditetapkan pembekal.

Bagi memelihara kepentingan pembeli dan melindungi mereka daripada perubahan harga yang ketara dan mendadak, Encik Chan berkata bahawa strategi pendekatan yang pelbagai perlu diambil.

Singapura harus terus mempelbagaikan sumber bekalan dan rangkaian bekalan agar tidak terjejas jika bekalan dihentikan atau gangguan pada rangkaian bekalan.

"Ini termasuk membeli dari pelbagai negara dan membangunkan kemampuan tempatan jika boleh dan wajar dari segi ekonomi," tambah Encik Chan.

Singapura juga perlu mengekalkan mata wang dolar Singapura yang kuat dan stabil bagi manfaat pembelinya dan memelihara kuasa beli negara.

Akhir sekali menurut beliau, Singapura perlu mengekalkan struktur pasaran yang terbuka dan berdaya saing agar dapat mengelakkan penjual daripada mengaut keuntungan secara tidak beretika.

Encik Chan menambah bahawa buat masa ini "tidak terdapat maklumat mencukupi" bagi pihak berkuasa untuk menentukan bahawa kenaikan harga telur baru-baru ini adalah akibat amalan antipersaingan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan