Images
  • sayur
    (Gambar: Lou Liebau/Unsplash)

Harga sayur dari Malaysia cecah paras rekod akibat musim hujan

SINGAPURA: Harga sayur dari Malaysia melambung naik sejak beberapa bulan lalu ekoran musim tengkujuh yang menjejas bekalan dari seberang tambak.

Bahkan, beberapa sayur kegemaran penduduk mencecah harga rekod dalam sedekad.

Menurut para pengimport, mereka menyaksikan bekalan sayur merosot dengan banyaknya dari Malaysia.

Naib Setiausaha Persatuan Pengimport dan Eksport Buah-buahan dan Sayur Singapura, Jerry Tan, berkata sejak kebelakangan ini disebabkan hujan berterusan di seluruh Malaysia, berlaku banyak kejadian tanah runtuh dan banjir yang menjejas tanaman.

Ini telah memberi kesan terhadap bekalan sayur-sayuran, sekali gus mengakibatkan kenaikan harga.

"Harga daun saderi naik sekitar 400 peratus. Harga tomato pula 150 peratus lebih mahal berbanding minggu lalu,"kata Encik Tan.

Seorang penjual sayur yang sudah lebih 30 tahun berniaga berkata beliau tidak pernah mengalami keadaan seperti sekarang ini.

"Kami cuba dapatkan bekalan dari tempat lain, tetapi ada kos tambahan seperti pengangkutan dan ini menjadikan harga lebih tinggi," kata Encik Chua Yang Hing yang berjualan di Pasar ABC Brickworks.

Keadaan diburukkan lagi dengan Malaysia mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu bermula tengah malam ini.

"Kami belum menerima sebarang maklumat sama ada ia akan menjejas syarikat-syarikat logistik yang menghantar bekalan ke sini,"kata Encik Tan.

"Berdasarkan pengalaman lalu, tidak berlaku sebarang gangguan. Jadi saya rasa, kali ini juga sama."

Singapura mendapatkan sumber makanan daripada lebih 170 negara dan wilayah bagi memastikan bekalan makanan negara ini stabil dan selamat.  

- CNA/SU/na

Top