Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Harga air dijual kepada S'pura 'tidak munasabah', kata Dr Mahathir

Harga air yang dijual kepada Singapura "tidak munasabah", dan Malaysia akan membuat pembentangan untuk mengemukakan hujah kepada negara jirannya itu untuk merunding semula syarat-syarat perjanjian bekalan air, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini (25 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Harga air dijual kepada S'pura 'tidak munasabah', kata Dr Mahathir

Perdana Mentri Malaysia Mahathir Mohamad dalam wawancara bersama Mediacorp.

Diterbitkan : 25 Jun 2018 03:02PM Dikemas Kini : 25 Jun 2018 03:05PM

SINGAPURA: Harga air yang dijual kepada Singapura "tidak munasabah", dan Malaysia akan membuat pembentangan untuk mengemukakan hujah kepada negara jirannya itu untuk merunding semula syarat-syarat perjanjian bekalan air, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini (25 Jun).

"Saya rasa tidak masuk akal untuk jual air pada harga 3 sen setiap seribu gelen. Ini bukan satu masalah pada tahun 1990-an atau 1930-an. Tetapi sekarang, apa yang boleh anda beli dengan 3 sen? Tidak ada apa-apa," kata Dr Mahathir dalam wawancara eksklusif dengan Mediacorp.

Sebelum ini, Bloomberg melaporkan bahawa Dr Mahathir merancang untuk menyemak semula perjanjian air, yang akan berakhir pada 2061.

"Kami sedang mengkaji kes ini dengan teliti dan akan membuat pembentangan," katanya kepada Mediacorp.

Pemimpin Malaysia itu juga berkata bahawa pihaknya belum memaklumkan Singapura tentang rancangan negara itu untuk menarik diri daripada projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang dipersetujui pentadbiran mantan Perdana Menteri Najib Razak.

Sejak masuk pejabat pada 9 Mei, Dr Mahathir berkata secara terbuka bahawa projek kereta api itu dibatalkan buat masa ini dalam usaha mengurangkan hutang negara yang melebihi RM1 trilion (S$340 bilion).

"Kadang kala kami sebenarnya mengeluarkan kenyataan tanpa memuktamadkan prosesnya. Apabila kami ingin membuat keputusan, kami tidak menunggu untuk memberitahu Singapura, kami terus umumkan. Jelas mereka ingin tahu, dan kami akan umumkan bila tiba waktunya.

Ditanya bila Singapura akan dimaklumkan, beliau berkata: "Ia bukan sesuatu yang perlu dilakukan segera."

PERJANJIAN AIR "TIDAK BOLEH DIPERTIKAIKAN" BAGI SINGAPURA

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak pada bulan Januari mengesahkan lagi peri pentingnya mengambil langkah-langkah bagi memastikan bekalan air yang mencukupi dari Sungai Johor seperti termaktub di bawah Perjanjian Air 1962.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan antara para pemimpin Singapura dengan Malaysia, kedua-dua negara juga mengesahkan syarat-syarat perjajian, di mana Singapura diberikan hak ekslusif dan sepenuhnya untuk mengambil sehingga 250 juta gelen air setiap hari dari Sungai Johor.

Johor pula membeli semula sehingga 2 peratus air yang sudah dirawat - atau sekitar lima juta gelen air sehari dari Singapura.

Pada Februari, Encik Chan Chun Sing yang ketika itu menyandang jawatan sebagai Menteri di Pejabat Perdana Menteri, berkata Singapura perlu memastikan ia mempunyai bekalan air yang mencukupi menjelang tahun 2050-an, sebelum perjanjian air dengan Malaysia tamat pada 2061.

Di bawah pelan induk agensi air kebangsaan PUB, AirBaru dan air suling akan dapat memenuhi 85 peratus permintaan air Singapura menjelang 2060. Pada ketika itu juga, permintaan air keseluruhannya dijangka naik seganda.

Dalam jawapan bertulis parlimen kepada Anggota Parlimen GRC Marine Parade Seah Kian Peng pada Januari 2017, Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan berkata Perjanjian Air 1962 "tidak boleh dipertikaikan" bagi Singapura.

"Ia sudah dimuktamadkan oleh pemerintah Singapura dan kerajaan Malaysia di bawah Perjanjian Pemisahan 1965, yang disimpan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," katanya.

Pada Mac 2017, Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean berkata Singapura perlu bersedia menghadapi bekalan air berkurangan jika kolam-kolam air di sini menjadi kering dan perjanjian air kedua dengan Malaysia tamat pada 2061.

Buat masa ini, air yang diimport memenuhi separuh keperluan air Singapura. Namun, paras air di Kolam Air Linggiu semakin merosot dan terdapat bahaya cuaca kering berpanjangan, kata Encik Teo ketika itu.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan