Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Haramkan PMD? 'Cabarannya sentiasa pengguna tidak bertanggungjawab'

Meskipun sesetengah orang menyokong pengharaman alat mobiliti peribadi (PMD), ada juga yang berpendapat langkah sedemikian adalah keterlaluan.

Anggaran Waktu Membaca:
Haramkan PMD? 'Cabarannya sentiasa pengguna tidak bertanggungjawab'

Para penunggang PMD. (Gambar: Aqil Haziq Mahmud)

Diterbitkan : 11 Oct 2019 10:02AM Dikemas Kini : 11 Oct 2019 11:03AM

SINGAPURA: Meskipun sesetengah orang menyokong pengharaman alat mobiliti peribadi (PMD), ada juga yang berpendapat langkah sedemikian adalah keterlaluan.

Di Parlimen pada Isnin (7 Okt), Menteri Negara Kanan Pengangkutan Dr Janil Puthucheary berkata PMD mungkin diharamkan sekiranya tingkah laku pengguna tidak bertambah baik.

Ini adalah kali pertama pihak berkuasa mengutarakan kemungkinan PMD diharamkan, setelah membenarkan penggunaan PMD di laluan pejalan kaki apabila Akta Mobiliti Aktif dikuatkuasakan tahun lalu.

Kenyataan itu dibuat dua minggu selepas kematian penunggang basikal, Cik Ong Bee Eng, 65 tahun setelah beliau bertembung dengan seorang penunggang PMD.

Dr Janil berkata ia menyebabkan orang awam berasa cemas tentang bahaya yang boleh timbul daripada peralatan sedemikian.

JUMLAH KEMALANGAN MENINGKAT DALAM BEBERAPA TAHUN

Beliau menarik perhatian, dengan penggunaan PMD yang meluas, jumlah kemalangan melibatkan peralatan itu juga meningkat.

Antara 2017 hingga 2018, sebanyak 228 kemalangan dilaporkan melibatkan PMD di laluan awam. 196 daripadanya menyebabkan kecederaan. Peningkatan jumlah kemalangan di sini juga berlaku di negara-negara lain.

Awal tahun ini, majalah tidak meraih keuntungan Consumer Report mendapati bahawa lebih 1,500 orang cedera akibat kemalangan e-skuter di Amerika Syarikat sejak lewat 2017.

PERLUKAH PMD DIHARAMKAN?

Dalam satu wawancara dengan CNA938 pada Rabu Dr Janil berkata bahawa meskipun pengharaman itu boleh dipertimbangkan, beliau tidak berpendapat ia perlu buat masa ini.

Beliau menekankan PMD amat berguna sebagai cara pengangkutan dan berkata pemerintah tidak berhasrat mengambil tindakan terburu-buru terhadap segelintir penunggang yang tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun, masih ada gesaan untuk mengharamkan alat itu.

Satu petisyen online untuk mengharamkan PMD dan e-basikal sudah mendapat sokongan menyusuli kematian Cik Ong dan mengumpul 68,600 tandatangan pada 10 Okt.

Para penyokong kegiatan berbasikal Francis Chu berkata bahawa pengharaman sementara terhadap penggunaan PMD di laluan pejalan kaki patut dipertimbangkan.

Pensyarah pengangkutan Universiti Nasional Singapura Encik Lee Der-Horng turut menyokong pengharaman PMD di Singapura.

Menurutnya, meskipun ia mungkin kedengaran seperti langkah keterlaluan, secara amnya laluan pejalan kaki di Singapura tidak dibina untuk menyokong kedua-dua pejalan kaki dan penunggang basikal, apatah lagi penunggang PMD.

PERATURAN TEMPATAN

Di Singapura, PMD diperlukan untuk memenuhi beberapa syarat. Ini termasuk had berat 20 kilogram, serta kelajuan maksimum 25 kilometer sejam.

Malah mulai April tahun depan, e-skuter yang didaftar perlu menjalani pemeriksaan sekali setiap dua tahun untuk memastikan ia memenuhi piawaian.

LTA juga melaksanakan kegiatan penguatkuasaan secara tetap, menyita peralatan yang tidak memenuhi piawaian atau didapati ditunggang secara berbahaya.

Namun, ada yang masih lagi tidak yakin akan keberkesanan langkah-langkah tersebut dalam mencegah penggunaan PMD secara berbahaya.

Meskipun peraturan dan infrastruktur tersedia, ia adalah tanggungjajwab pengguna PMD untuk memastikan keselamatan orang lain, menurut timbalan pengerusia Jawatankuasa Parlimen Pemerintah bagi Pengangkutan Encik Ang Hin Kee.

"Rangka kerja kawal selia sudah disediakan oleh Pemerintah dengan jelas, tetapi ia bergantung kepada para pengguna untuk mematuhinya." 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan