Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hanya segelintir pembeli perlu tunggu 6-7 tahun bagi flat BTO, dedah Desmond Lee

Walaupun terdapat kelengahan pada kerja-kerja binaan disebabkan oleh pandemik COVID-19, bilangan projek Bina Ikut Tempahan (BTO) yang mengambil masa enam hingga tujuh tahun untuk disiapkan agak kecil, kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Oct 2021 03:04PM Dikemas Kini : 05 Oct 2021 10:20PM

SINGAPURA: Walaupun terdapat kelengahan pada kerja-kerja binaan disebabkan oleh pandemik COVID-19, bilangan projek Bina Ikut Tempahan (BTO) yang mengambil masa enam hingga tujuh tahun untuk disiapkan agak kecil, kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee. Secara purata, tempoh menunggu bagi sebahagian besar projek adalah antara empat hingga lima tahun.

Encik Lee memberitahu Parlimen pada Selasa (5 Okt) bahawa para pembeli rumah yang menempah unit melalui projek BTO yang dilancarkan tahun ini dan tahun lalu boleh menjangkakan tempoh menunggu sekitar tiga hingga lima tahun setengah bagi flat mereka.

Sebagai contoh, projek Hougang Citrine yang dilancarkan pada Ogos dijangka akan selesai dibina dalam tempoh tiga tahun, dan Garden Court@Tengah yang dilancarkan pada November tahun lalu mempunyai tempoh menunggu sekitar tiga tahun setengah.

Bagi projek-projek yang memakan masa lebih lama, seperti Queen's Arc di Queenstown, Encik Lee berkata masa menunggu yang lebih panjang disebabkan oleh keadaan tapak yang sukar atau kerana projek tersebut menawarkan blok-blok yang sangat tinggi, lantas memerlukan lebih banyak masa untuk dibina.

"Ini menyebabkan sesetengah pihak bimbang sekiranya semua BTO baru akan mengambil masa enam hingga tujuh tahun, tetapi (hakikatnya) jumlahnya agak kecil," tambahnya.

Menteri tersebut berkata demikian semasa menjawab pertanyaanCik Cheryl Chan, Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast mengenai gangguan pada kerja-kerja binaan yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Cik Chan bertanya bagaimana gangguan ini menjejas garis masa untuk menamatkan projek-projek BTO yang dibina oleh pemerintah.

BANTUAN PEMERINTAH

Dalam jawapannya, Encik Lee berkata bahawa langkah-langkah Pemerintah telah memastikan sebarang kelengahan yang disebabkan oleh pandemik koronavirus terhadap projek BTO, dihadkan sehingga setahun atau kurang daripada itu.

Hanya satu projek, yang tidak disebutkan namanya, mengalami kelengahan yang lebih lama kerana ia sudahpun menghadapi "kesulitan projek yang tidak berkaitan dengan pandemik".

Secara keseluruhannya, tempoh menunggu bagi semua projek BTO adalah kurang daripada enam tahun, katanya.

Pemerintah juga menepati sasaran untuk melancarkan 17,000 flat BTO pada tahun ini dan akan meningkatkan bekalan menjangkaui jumlah tersebut pada tahun depan.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan