Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hampir S$500 juta diagih kepada 15,600 pembeli flat HDB kali pertama di bawah geran EHG

Kira-kira 15,600 pembeli flat HDB kali pertama memanfaatkan EHG, di mana hampir S$500 juta sudah diagihkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Feb 2021 04:19PM Dikemas Kini : 21 Feb 2021 09:30PM

SINGAPURA: Encik Toh Jin Ann, 26 tahun dan pasangannya Jaslin Chong memang sudah membuat rancangan untuk memohon Flat Bina Ikut Tempahan (BTO) .

Pada hujung 2019 mereka memutuskan untuk mendapatkan flat BTO di Tengah, dengan niat untuk membeli sebuah unit lima bilik supaya ibu bapa Encik Toh boleh tinggal bersama mereka.

Namun, mereka bimbang sama ada mampu untuk mendapatkan flat tersebut.

"Kerana beliau (Cik Chong) bekerja sambilan dan saya masih belajar semasa kami memohon flat BTO, bayaran pendahuluannya menjadi kebimbangan kami," kata Encik Teo, yang tamat pengajian tahun lalu.

Mereka berasa lega apabila menerima geran sebanyak S$80,000 di bawah Geran Perumahan CPF Dipertingkat (EHG) oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Ia adalah jumlah maksimum di bawah geran tersebut.

"Kami boleh menggunakannya untuk membuat pembayaran dan ini melegakan. Kami tidak perlu bimbang sangat tentang duit," kata beliau kepada Mediacorp.

Encik Toh Jin Ann dan pasangannya Jaslin Chong, menerima geran EHG S$80,000. (Gambar: HDB)

Pasangan itu adalah antara kira-kira 15,600 pembeli flat HDB kali pertama yang memanfaatkan EHG, di mana hampir S$500 juta sudah diagihkan, menurut HDB dalam kenyataan medianya hari ini (21 Feb).

EHG, diperkenalkan pada September 2019, yang menambah pilihan bagi flat baru atau flat jualan semula bagi pembeli flat HDB kali pertama dan menjadikan flat lebih dimampui.

Selain aras gaji kelayakan yang lebih tinggi, pembeli juga boleh mendapatkan geran itu tanpa dihadkan jenis flat atau estet perumahan pilihan.

Mulai 11 September 2019 hingga 31 Disember 2020, sekitar 7,700 pembeli flat kali pertama membuat permohonan bagi EHG, menurut HDB.

Sekitar S$270 juta geran diagihkan kepada keluarga-keluarga tersebut.

HDB menambah tidak semua permohonan EHG sudah diproses. Ini kerana permohonan dibuat semasa proses memilih flat dan pemilihan flat bagi bulan Ogos dan November 2020 masih dijalankan.

BELI FLAT JUALAN SEMULA

Dalam tempoh yang sama, sekitar 8,300 keluarga yang pertama kali membeli flat jualan semula memohon bagi EHG, tambah HDB.

Jumlah geran sekitar S$226 juta diagihkan kepada kira-kira 7,900 keluarga, manakala baki pemohon akan menerima geran mereka sebaik sahaja urus niaga flat jualan semula mereka selesai, menurut HDB.

Ia menambah, di samping EHG, pembeli yang layak boleh membuat permohonan bagi Geran Perumahan CPF sehingga S$50,000 dan Geran Rumah Berhampiran (PHG) sehingga S$30,0000.

Ini dimanfaatkan oleh Pengurus Logistik, Azhar Kamsari, 36 tahun dan isterinya Cik Nurhayati Zulfikri.

Encik Azhar Kamsari bersama isteri, Nurhayati Zulfikri, dan anak mereka. (Gambar: HDB)

Pasangan itu membeli flat jualan semula empat bilik mereka di Woodlands, berdekatan dengan rumah ibu bapa Cik Nurhayati.

Mereka menerima geran perumahan sebanyak S$115,000, merangkuni S$45,000 EHG, S$50,000 daripada Geran Keluarga dan S$20,000 daripada PGH - geran yang menggalak keluarga supaya tinggal dekat dengan ibu bapa atau anak-anak mereka.

"Kami terkejut ada begitu banyak geran," kata Encik Azhar.

"Mula-mula saya terfikir: 'Macam mana saya nak beli rumah empat bilik?' Tetapi setelah dihitung, (kosnya) okay," kata beliau, sambil menambah jumlah yang akhirya perlu mereka bayar adalah sekitar S$221,000.

PHG juga bonus bagi pasangan itu, dengan Encik Azhar berseloroh tentang kelebihan tinggal dekatn dengan keluarga.

"Ibu mentua saya sangat tegas, jadi jika anak saya tidak duduk diam-diam, saya boleh hantar ke rumah mak mentua. Ia macam kem latihan tentera untuk anak saya."

GERAN RUMAH BERHAMPIRAN

Termasuk Encik Azhar dan isterinya, sekitar 4,700 pembeli rumah kali pertama meraih manfaat daripada kedua-dua EHG dan PHG sehingga 31 Disember lalu.

"PHG ditawarkan kepada semua pembeli rumah tidak kira pendapatan keluarga, pemilik rumah privet atau sama ada mereka pernah memanfaatkan subsidi-subsidi sebelum ini, semasa membeli flat jualan semula dengan atau berhampiran ibu bapa/anak-anak mereka," menurut HDB.

Semua rakyat Singapura layak mendapatkan PHG sekali sahaja.

Menurut HDB, sejak geran itu diperkenalkan pada Ogos 2015, sekitar 40,900 keluarga sudah membuat permohonan.

Daripada jumlah itu, sekitar 40,200 permohonan berjaya mendapatkannya, dengan sebanyak S$748 juta diagihkan kepada keluarga-keluarga tersebut.

Ia menambah bahawa 78 peratus daripada mereka yang membuat permohonan, melibatkan keluarga manakala bakinya adalah orang bujang.

Selain itu, 55 peratus daripada mereka membeli flat di estet-estet bukan matang, manakala bakinya memilih flat di estet matang.

Menurutnya lagi, 40,900 keluarga yang memohon PHG membentuk sekitar sepertiga daripada 121,600 permohonan flat jualan semula yang berdaftar dalam tempoh yang sama.

Geran-geran itu kata HDB melengkapi skim-skim lain untuk membantu rakyat Singapura membeli flat-flat baru bersama atau berdekatan ibu bapa atau anak-anak mereka.

"Pembeli rumah yang ingin tahu sama ada mereka layak mendapatkan geran boleh menggunakan kalkulator kewangan yang disesuaikan di laman baru HDB Flat Portal, yang dilancarkan bulan lalu," tambah HDB. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan