Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hampir 70 peserta program kepimpinan belia Kelab Mendaki cari huraian isu sosial

Hampir 70 belia berkumpul hujung minggu ini untuk mencari huraian kepada isu-isu sosial yang dihadapi masyarakat Melayu/Islam hari ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hampir 70 belia berkumpul hujung minggu ini untuk mencari huraian kepada isu-isu sosial yang dihadapi masyarakat Melayu/Islam hari ini.

Program Inkubator Kepimpinan (LI) anjuran Kelab Mendaki (MClub) itu ingin mendedahkan para belia kepada cabaran-cabaran sebenar masa depan yang lebih rumit.

Memberi mereka motivasi pada hari ini (23 Sep) adalah Setiausaha Parlimen Kanan, Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan, Encik Amrin Amin.

SOALAN MENCABAR

Bagaimana untuk memanfaatkan asatizah tempatan bagi memastikan masyarakat am Singapura dapat menerima maklumat yang sahih dan mengikut konteks hari ini?

Bagaimana pula untuk mengubah pemikiran masyarakat Melayu/Islam bahawa gangguan mental adalah satu masalah kesihatan dan bukan 'isu agama'?

Dua soalan itu adalah antara cabaran yang dilontarkan kepada 62 peserta program Hackathon, untuk mencari 'proptaip' atau huraian kepada persoalan-persoalan yang diajukan itu.

Program yang sudah berjalan selama lapan tahun itu turut menampilkan format baru.

Para peserta diberi 30 jam untuk membentangkan huraian terhadap cabaran-cabaran sebenar dalam isu-isu seperti belia dan kesihatan, keusahawanan dan sosio agama yang dikemukakan lapan rakan kerja projek tersebut termasuk MUIS, DPPMS dan Club HEAL. 

"Kami memahami bahawa ramai belia Melayu/Islam kita ingin memberi masa dan tenaga mereka untuk membantu masyarakat kita. Salah satu objektif hackathon ini adalah untuk memberikan peserta panduan dan kemahiran untuk menganalisa masalah-masalah masyarakat kita yang boleh dileraikan.

"Harapan kami adalah supaya para peserta boleh bekerjasama dengan penaja kami untuk melaksanakan projek-projek untuk memanfaatkan masyarakat kita," kongsi Encik Syed Arafat Hussain, seorang anggota jawatankuasa eksekutif MClub.

AMRIN AMIN: FIKIRKAN BAGAIMANA IDEA-IDEA DAPAT DILAKSANAKAN

Menyambut baik usaha yang dianjurkan oleh Kelab Mendaki ini, Encik Amrin berkata golongan belia dapat memberi suntikan idea-idea baru kepada badan-badan Melayu/Islam.

Beliau menggesa mereka untuk meneroka cara untuk melaksanakan projek mereka menjadi sesuatu yang lebih konkrit dan boleh memanfatkan masyarakat.

"Saya rasa ia merupakan wadah yang baik kerana ia memberikan wadah kepada anak muda kita berfikir secara mendalam tentang isu-isu yang menghadapi masyarakat kita.

"Saya juga gembira yang wadah ini bukan setakat mengajak mereka untuk mengeluarkan idea-idea tapi menggalakkan mereka untuk terus bersama-sama menjayakan usaha ini," kata Encik Amrin lagi.

Selain sesi hackathon itu, para peserta juga mengikuti bengkel-bengkel untuk membantu mereka lebih memahami isu-isu yang dihadapi masyarakat selain kemahiran teknikal. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan