Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hampir 50,000 dapatkan rawatan kesihatan mental setiap tahun dari 2016-2019

Secara purata sekitar 49,800 penduduk Singapura menerima rawatan bagi masalah kesihatan mental setiap tahun dari 2016 hingga 2019, menurut Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam pada Selasa (2 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 Nov 2021 02:37PM Dikemas Kini : 02 Nov 2021 09:10PM

SINGAPURA: Secara purata sekitar 49,800 penduduk Singapura menerima rawatan bagi masalah kesihatan mental setiap tahun dari 2016 hingga 2019, menurut Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam pada Selasa (2 Nov).

Jumlah ini termasuk mereka yang mendapatkan rawatan di hospital awam dan swasta, poliklinik dan Klinik Doktor Swasta (GP), tambah Cik Rahayu.

Perangkaan bagi 2020 belum tersedia, kata Cik Rahayu, semasa menjawab soalan Anggota Parlimen Faisal Manap (WP-Aljunied).

Encik Faisal meminta perincian mengenai jumlah penduduk yang menerima rawatan bagi masalah kesihatan mental setiap tahun dari 2016 hingga 2020, mereka yang dirawat kerana mengalami kemurungan dan keresahan, serta demografi dan punca kes-kes tersebut.

Purata bilangan penduduk yang mendapatkan rawatan bagi kemurungan adalah 33,700 manakala bagi keresahan pula adalah 34,000 setiap tahun sepanjang tempoh yang sama, meskipun ia termasuk kes berulang dan "bukan kiraan individu yang unik", jelas Cik Rahayu dalam jawapannya.

Sekitar 60 peratus pesakit yang mengalami keresahan atau kemurungan berusia bawah 60 tahun. 70 peratus daripada mereka berbangsa Cina, dan sekitar 30 peratus menetap di flat tiga bilik atau lebih kecil, tambah Cik Rahayu.

"Pecahan mengikut tahap pendidikan pesakit tidak tersedia ," dedah Cik Rahayu selanjutnya.

Kajian Kesihatan Mental Singapura (SMHS) 2016 mendapati pengangguran, status perkahwinan, sudah bercerai atau berpisah "berkait secara ketara" dengan kemurungan, kata Cik Rahayu.

"Kajian yang sama membayangkan bahawa tekanan mungkin merupakan faktor risiko mengalami gangguan keresahan (anxiety disorder). SMHS 2010 mendapati hampir separuh daripada mereka yang mengalami kemurungan dan keresahan juga mempunyai penyakit fizikal yang kronik."

ANGKA BUNUH DIRI TAHUNAN

Encik Faisal juga bertanya tentang jumlah kes bunuh diri dan percubaan bunuh diri setiap tahun, serta demografi dan punca kes-kes itu.

Orang muda berumur 19 tahun ke bawah membentuk "peratusan lebih rendah" kes bunuh diri, kata Cik Rahayu dalam jawapannya.

Namun, berbeza bagi mereka yang berusia 60 tahun ke atas, kata Cik Rahayu, sambil menambah bahawa jumlah kes bunuh diri adalah maklumat awam, yang dikeluarkan oleh Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam laporan tahunannya mengenai pendaftaran kelahiran dan kematian.

Menurut laporan 2020 yang diterbitkan pada Jun tahun ini, terdapat 452 kematian akibat bunuh diri pada 2020, meningkat daripada 400 pada 2019.

Daripada 452 kes pada 2020, 320 adalah lelaki dan 132 adalah wanita.

Mengenai demografi kes bunuh diri, Cik Rahayu berkata: “Berdasarkan kaum, orang Melayu membentuk jumlah kes bunuh diri yang jauh lebih rendah, manakala berbeza bagi orang India. Pecahan mengikut tahap pendidikan dan latar belakang ekonomi tidak tersedia".

“Biasanya terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan seseorang itu cuba membunuh diri atau berbuat demikian. Faktor-faktor ini termasuk masalah perhubungan, keluarga, sosial, kewangan, isu kesihatan mental dan fizikal.”

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan