Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hampir 30% orang kurang upaya dalam usia layak bekerja, sedang bekerja: Tinjauan MOM

Hampir tiga daripada setiap 10 orang kurang upaya (PWD) yang berada dalam lingkungan usia boleh bekerja - kini bekerja. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 Sep 2019 05:34PM Dikemas Kini : 02 Sep 2019 09:36PM

SINGAPURA: Hampir tiga daripada setiap 10 orang kurang upaya (PWD) yang berada dalam lingkungan usia boleh bekerja - kini bekerja. Demikian menurut Menteri Negara Tenaga Manusia Zaqy Mohamad di Parlimen hari ini (2 Sep).

Kadar pengambilan pekerjaan penduduk adalah 28.6 peratus dalam kalangan PWD bagi usia pekerjaan antara 15 hingga 64 tahun, kata Encik Zaqy sebagai respons kepada soalan Parlimen yang diajukan oleh Anggota Parlimen (AP) Chong Kee Hiong berhubung kadar pengambilan pekerjaan orang kurang upaya.

Sementara itu, lagi 4.2 peratus PWD dalam lingkungan usia itu menganggur dan sedang mencari pekerjaan sekali gus menyumbang kepada kadar pengangguran penduduk sebanyak 12.9 peratus.

"Baki dua pertiga PWD dalam kumpulan usia itu tidak berada di dalam tenaga buruh dengan kebanyakan daripada mereka mengatakan kesihatan yang lemah atau kurang upaya sebagai alasan utama," tambah Encik Zaqy.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sudahpun mula mengumpulkan data mengenai hasil pengambilan pekerjaan PWD menerusi Tinjauan Tenaga Buruh Komprehensif dan perangkaan itu akan tersedia mulai 2018.

Encik Chong juga bertanya mengenai pecahan kadar pengambilan pekerjaan mengikut lingkungan usia berbeza.

Menjawab, Encik Zaqy berkata kadar pengambilan pekerjaan penduduk bagi PWD berusia antara 15 hingga 39 tahun adalah 27.6 peratus. Bagi golongan berusia antara 40 hingga 49 tahun, kadar pengambilan pekerjaan adalah 37.8 peratus.

Kadar tersebut adalah 26.1 peratus bagi para PWD berusia antara 50 hingga 64 tahun dan 5.9 peratus bagi mereka yang berusia 65 tahun dan ke atas.

Sektor yang mengambil paling ramai penduduk PWD untuk bekerja dengan mereka adalah masyarakat, khidmat sosial dan peribadi, khidmat makanan, pentadbiran, serta khidmat sokongan dan pengeluaran. Secara keseluruhannya, mereka menyumbang kepada lebih separuh kadar pengambilan pekerjaan PWD.

Terharu dengan kisah Roszana Ali yang mengalami palsi serebrum, orang ramai mengumpul dana untuk menghadiahkannya sebuah kerusi roda baru.  

PERANGKAAN TIDAK TEPAT DARIPADA STRAITS TIMES

Dalam satu soalan tambahan, Encik Chong meminata pencerahan bagi perangkaan yang diterbitkan oleh akhbar The Straits Times (ST) pada Februari lalu yang melaporkan "hanya lima daripada 100 orang kurang upaya di sini mempunyai pekerjaan".

Encik Zaqy menjawab perangkaan yang ditukil adalah "tidak tepat".

"Perangkaan yang salah itu diperolehi oleh ST dengan menggunakan sumber data yang tersedia secara umum," kata menteri itu.

"Pada masa itu, kami membuat tinjauan tenaga kerja komprehensif untuk PWD, jadi... mereka mengumpulkan beberapa data dari sumber yang berbeza."

"Bagi jumlah PWD dalam penduduk, ST menggunakan kadar anggaran sedia ada daripada tinjauan NCS sebanyak 2,000 orang," tambah Encik Zaqy.

"Ini berbeza berbanding apa yang kami ada daripada Tinjauan Tenaga Buruh Komprehensif yang meliputi sekitar 100,000 orang daripada 33,000 keluarga. Jadi ini adalah dapatan yang lebih tepat."

Beliau juga menarik perhatian bahawa ST mengambil sesetengah angka pukal yang termasuk mereka berusia atas 65 tahun.

"Pada usia melebihi 65 tahun, anda akan mendapati keadaan kurang upaya lebih tinggi bukan hanya kerana anda lahir dengan keadaan itu, tetapi juga kerana usia tua. Jadi tahap kesihatan anda juga merosot," kata Encik Zaqy. "Jadi, lazimnya untuk kadar pengambilan pekerja, kami menggunakan usia antara 15 hingga 64 tahun."

SKIM-SKIM UNTUK BANTU SYARIKAT AMBIL PWD BEKERJA

AP Dr Intan Azura Mokhtar bertanyakan satu lagi soalan tentang keberkesanan skim-skim pemerintah dalam membantu syarikat serta majikan untuk mengambil golongan PWD bekerja.

Beliau menukil Kredit Pekerjaan Khas (SEC), Program Pintu Terbuka (ODP) dan Workfare.

Sebagai respons, Encik Zaqy berkata bahawa MOM pada 2012 melanjutkan SEC kepada para majikan yang mengambil PWD warga Singapura dari segenap lapisan usia bekerja dengan mereka dengan pendapatan sehingga S$4,000 sebulan.

SEC menyediakan keseimbangan gaji automatik sehingga 16 peratus pendapatan bulanan pekerja bagi PWD berusia bawah 67 tahun dan sehingga 22 peratus bagi PWD berusia 67 dan ke atas.

"Angka itu sudahpun meningkat sejak 2012 apabila SEC dibayar kepada sekitar 3,200 majikan yang mengambil 5,000 warga Singapura kurang upaya bekerja dengan mereka."

Majikan dan PWD boleh memanfaatkan khidmat serta program sokongan pekerjaan di bawah Inisiatif Suai-Maju dan ini termasuk ODP selain Ujian Kerjaya, ujar Encik Zaqy.

Geran Latihan ODP menyediakan subsidi sehingga 90 peratus yuran kursus untuk menyokong latihan PWD dan rakan sekerja mereka. Geran Reka Semula Pekerjaan ODP menyediakan majikan dengan dana sehingga 90 peratus kos mereka semula pekerjaan hingga S$20,000 bagi setiap pekerja berkeperluan khas, untuk membantu PWD berintergrasi di tempat kerja.

"Sesetengah majikan dan PWD mungkin mempunyai keprihatinan tentang kesesuaian pekerjaan dan kesesuaian sekitaran pekerjaan," kata Encik Zaqy.

"Untuk menangani keprihatinan tersebut, Ujian Kerjaya menawarkan peluang kepada para pencari kerja dan majikan untuk menilai satu sama lain dan menilai kesesuaian pekerjaan menerusi ujian. Semasa tempoh ujian, yang boleh mengambil masa sehingga tiga bulan, para pencari kerja menerima elaun latihan daripada Pemerintah."

Beliau mengatakan hampir 780 syarikat sudahpun mengambil lebih 2,000 PWD bekerja dengan mereka, dengan sokongan daripada inisiatif Suai-Maju. Sekurang-kurangnya 60 peratus daripada PWD itu kekal bekerja selepas enam bulan.

Encik Zaqy juga mengatakan Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) dan Skim Sokongan Latihan Daya Kerja (WTS) dilanjutkan kepada PWD bergaji rendah meliputi semua usia, masing-masing pada 2012 dan 2017.

WIS menokok pendapatan dan simpanan CPF para pekerja berkeperluan khas yang bergaji rendah, dengan sehingga S$3,600 dalam bentuk wang tunai dan sumbangan CPF secara tahunan. Sementara itu, WTS menyediakan sokongan seperti subsidi yuran kursus serta elaun latihan.

"Tahun lalu, lebih 6,400 rakyat Singapura berkeperluan khas meraih manfaat daripada WIS, naik dari lebih 3,500 pada 2012," kata Encik Zaqy.

"Jumlah rakyat Singapura berkeperluan khas yang meraih manfaat daripada latihan WTS juga meningkat tahun lalu kepada sekitar 860, naik dari sekitar 640 pada 2017."

Pada Mac lalu, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) mengumumkan pembentukan kumpulan kerja baru untuk mengkaji peningkatan akses kepada peluang pembelajaran dan laluan pekerjaan bagi orang berkeperluan khas.

Kumpulan kerja itu menyasarkan untuk mengeluarkan cadangan-cadangan mereka pada awal tahun depan, kata Encik Zaqy.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan