Images
  • police car singapore generic
    Kereta ronda Pasukan Polis Singapura. (Gambar: Channel NewsAsia/Francine Lim)

Hampir 3,600 kes penipuan online dilaporkan, dalam 6 bulan pertama 2019 di S'pura

SINGAPURA: Polis menyatakan kes-kes penipuan online melibatkan penyamaran sebagai pegawai pemerintah China untuk mencuri wang merupakan salah satu daripada 10 cara penipuan paling lazim di negara ini.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, mangsa-mangsa kes penipuan seperti itu kehilangan S$7.1 juta, dengan satu kes terbesarnya melibatkan wang S$1.3 juta.

Baru-baru ini pula tiga orang wanita berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa apabila para pegawai bank OCBC yang awas, campur tangan.

Lazimnya dalam kes penipuan seperti itu, mangsanya menerima panggilan telefon dari seseorang yang mendakwa dari syarikat penghantaran atau badan penguatkuasaan undang-undang.

Mangsanya diberitahu adanya sebuah bungkusan yang tertera nama mangsa itu. Bungkusan tersebut didakwa mengandungi bahan terlarang atau dikaitkan dengan jenayah rentas sempadan.

Adakalanya panggilan itu dipindahkan kepada seseorang yang mendakwa dirinya anggota polis China. Dia kemudian mengarahkan si mangsa mendedahkan kata laluan dan maklumat akaun bank mereka sebelum mengarahkan si mangsa memencilkan dirinya.

Dengan maklumat yang diberikan, si penjenayah memindahkan wang dari akaun mangsa sebelum menghilangkan diri.

Tetapi hasil tindakan awas para pegawai Bank OCBC, tiga wanita berusia antara 27 hingga 50 tahun terselamat daripada kehilangan lebih S$190,000 dalam penipuan sedemikian.

Menurut SPF, dalam enam bulan pertama tahun ini, hampir 3,600 kes penipuan online dilaporkan dengan kerugian berjumlah S$83 juta.

Ia pertambahan 40 peratus dalam kedua-duanya - jumlah kes dan jumlah wang yang hilang - berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

- CNA/AA/na

Top