Images
  • crime
    (Gambar: Jeremy Long)

Hakim tangguh hukuman terhadap lelaki M'sia; 23 tahun tinggal di S'pura secara haram

SINGAPURA: Hukuman terhadap seorang lelaki warga Malaysia atas kesalahan menetap di sini secara haram sejak 1995 ditangguhkan oleh seorang hakim pada Jumaat (16 Ogos). Ia atas alasan teknik berhubung tuduhan terhadapnya.

Choo Juan Suan, 64 tahun, mengaku bersalah pada bulan lalu atas satu tuduhan memasuki Singapura tanpa pasport sah pada suatu masa sebelum atau sekitar 1995.

Lelaki itu menetap di sini secara haram selama 23 tahun sehingga dia ditahan pada lewat tahun lalu.

Bagaimanapun, apabila dia kembali ke mahkamah pada Jumaat untuk dijatuhkan hukuman bagi kesalahan tersebut, peguam belanya Wee Hong Shern memberitahu mahkamah bahawa terdapat isu berhubung tuduhan itu.

Peruntukan bagi hukuman di bawah Akta Imigresen yang relevan hanya berkuat kuasa pada 1996 sedangkan kesalahan Choo itu dilakukan pada 1995.

Pendakwa Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) memberitahu mahkamah beliau perlu berunding dengan Jabatan Peguam Negara sebelum meneruskan langkah selanjutnya.

Apabila mendengar perkara itu, Hakim Daerah Edgar Foo berkata: "Mujur kita belum menghukumnya."

Beliau menolak rayuan Choo dan menangguhkan kes itu selama dua minggu untuk menimbangkan rayuan baru.

Choo diberkas pada November lalu di sebuah flat dekat Beo Crescent setelah para pegawai ICA menjalankan pemeriksaan rawak dan mendapati dia tidak dapat mengemukakan bukti untuk menunjukkan bahawa dia menetap di Singapura dengan sah.

Selepas diberkas, Choo mendakwa dia memasuki Singapura secara haram sekitar 1995.

Berdasarkan butiran yang diberikannya, Jabatan Pemprosesan Data ICA cuba mengesan rekod kemasukannya ke Singapura tetapi tidak dapat menemui apa-apa yang menunjukkan bahawa dia memasuki mana-mana pintu masuk Singapura yang sah.

Hukuman bagi kesalahan memasuki Singapura tanpa pasport yang sah adalah penjara sehingga enam bulan, sekurang-kurangnya tiga kali sebatan rotan atau denda tidak melebihi S$6,000 sebagai ganti kepada sebatan rotan. 

- CNA/FZ/fz

Top