Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hakim Besar gugur perintah lindung identiti pengintai warga S'pura yang belajar di varsiti ulung UK

Hakim Besar berkata pada Jumaat (24 Sep) bahawa Colin Chua Yi, 23 tahun, "ambil kesempatan" perintah yang sepatutnya lindungi identiti mangsa, walhal wajah mangsa sudah terdedah dalam video yang dirakam dan dimuatnaik - ada yang ditonton hingga lebih 177,000 kali.

Anggaran Waktu Membaca:
Hakim Besar gugur perintah lindung identiti pengintai warga S'pura yang belajar di varsiti ulung UK

Colin Chua Yi Jin (kiri), keluar dari Mahkamah negara pada 29 Jul 2021 (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Diterbitkan : 24 Sep 2021 03:38PM Dikemas Kini : 24 Sep 2021 08:15PM

SINGAPURA: Mahasiswa warga Singapura berusia 23 tahun yang menuntut di sebuah universiti ulung di Britain, yang merakam video intai lebih 10 rakan wanita, kini boleh didedahkan namanya setelah Mahkamah Tinggi meluluskan permohonan pihak pendakwa untuk tarik balik perintah melindungi identitinya.

Hakim Besar Sundaresh Menon, berkata pada Jumaat (24 Sep) bahawa 11 mangsa Colin Chua Yi Jin bersetuju mengambil risiko identiti mereka sendiri mungkin terdedah apabila nama Chua didedahkan.

Kebanyakan wajah mereka sudahpun boleh dilihat dalam video yang di muat naik Chua online.

Hakim Besar Menon menegaskan perintah tidak menamakan mangsa dilaksanakan untuk melindungi mangsa, bukan yang tertuduh, dan dalam kes ini mangsa telah bersuara bahawa ia membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Perintah itu pada awalnya ditarik balik di Mahkamah Negara pada Julai, apabila Chua mengaku bersalah atas kesalahan yang dilakukannya selama tiga tahun sejak 2015 ketika berusia 18 tahun.

Bagaimanapun, peguam belanya Kalidass Murugaiyan kemudian mengemukakan rayuan terhadap keputusan hakim daerah.

Perintah mahkamah bagaimanapun masih melindungi identiti mangsa, hubungan mereka dengan Chua dan nama sekolah yang mereka hadiri, termasuk universiti Chua.

'ANAK GUAM ANDA HANYA MEMENTINGKAN DIRI’

Menjawab hujah Encik Murugaiyan bahawa mahkamah tidak tahu sama ada mangsa ke-12 bersetuju untuk mendedahkan nama Chua, Hakim Besar Menon berkata pihak pendakwaan baru-baru ini menarik balik beberapa tuduhan berkaitan dengan wanita itu, jadi beliau tidak relevan dengan kes itu kerana bukan lagi seorang saksi.

"Kita semua tahu sebab kita memiliki kuasa untuk melaksanakan perintah mahkamah. Ini adalah bertentangan dengan prinsip keadilan terbuka ... kerana ada kepentingan lain: perlindungan mangsa.

"Dalam keadaan yang mana mangsa tampil untuk berkata, 'Sebenarnya, saya merasa bersalah kerana saya mungkin tidak dapat menolong mangsa lain akibat perintah melindungi identiti dan saya telah memperkenalkan mangsa-mangsa lain kepada pesalah, dan saya merana kerana saya rasa saya seperti bersubahat dalam hal ini dengan perlu berdiam diri' - secara logiknya bagaimanakah dapat kita meneruskan perintah mahkamah itu dalam kes sedemikian?" ujar Hakim Besar.

Beliau berkata kepada Encik Murugaiyan bahawa Chua hanya sekadar "mengambil kesempatan" kerana perintah itu turut melindungi identitinya.

Dari sudut pandangan mahkamah, katanya, mangsa sudah menerima risiko identiti mereka sendiri terdedah dan mahu "mengatasi rasa bersalah dan ketakutan" bahawa orang lain mungkin menderita dan masih merana kerana perintah mahkamah itu.

Timbalan Pendakwa Raya Nicholas Khoo membantah permohonan pihak pembelaan, dengan menyifatkannya sebagai "sangat mementingkan diri sendiri" dan hampir "meremehkan". Beliau juga menuntut kos S$2,000 terhadap Chua.

Chua, yang belum dikenakan hukuman di Mahkamah Negara, mengaku bersalah atas tujuh dakwaan menghina kehormatan wanita dan satu tuduhan menyimpan video lucah.

Dia akan kembali dihadapkan di mahkamah pada Isnin (20 Sep) di mana mahkamah diberitahu Chua tidak sesuai bagi hukuman probesen. Pihak pendakwa sebelumnya menjelaskan pihaknya mungkin akan memohon hukuman penjara.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan