Images
  • fahrur razi1
    Fahrorazi Sohoi atau lebih dikenali sebagai Ustaz Fahrur Razi Kiyai Kassim. (Gambar: Petikan skrin dari Youtube)

'Haji VIP': Merungkai kes pakej haji Fahrorazi Sohoi

BERITAmediacorp: Kes berprofil tinggi penipuan pakej 'Haji VIP' Fahrorazi Sohoi atau lebih dikenali sebagai Ustaz Fahrur Razi Kiyai Kassim menggemparkan masyarakat Islam di Singapura.

Ini selepas aduan dibuat kepada polis pada 15 Ogos bahawa lebih 80 individu yang dijadual berlepas ke Arab Saudi pada Khamis (16 Ogos) bagi mengerjakan haji, tidak menerima sebarang pengesahan mengenai maklumat penerbangan dan visa.

Dalam sebutan kes yang diadakan di Mahkamah Negara pagi tadi (17 Ogos), Fahrorazi, 47 tahun, didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Jenayah, Bab 224.

Polis meminta agar dia kini direman lagi seminggu bagi menjalankan siasatan lanjut berkaitan aduan-aduan serupa dan ikat jamin mungkin ditawarkan, bergantung kepada jumlah tuduhan ke atasnya.

Jika sabit kesalahan, guru agama berkenaan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun dan didenda.

Kesnya akan disebut lagi pada 24 Ogos pada 11.00 pagi.

SUDAH DIBAYAR HAMPIR $100,000

Menurut kenyataan polis, wang yang dilaporkan sudah dibayar kepada Fahrorazi berjumlah hampir $100,000.

Dia ditangkap oleh pegawai polis dari Divisyen Polis Central dan beberapa pasport Singapura serta wang sebanyak $196,950 dirampas.

Jumlah wang sebanyak $196,950 yang dirampas. (Gambar: Pasukan Polis Singapura)

Siasatan awal menunjukkan dia didakwa memperdaya mangsanya bahawa mereka boleh menunaikan ibadah haji pada harga yang lebih murah, iaitu $1,550 seorang.

Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding harga bagi pakej haji biasa antara sekitar S$7,000 dengan S$18,465, tidak termasuk harga tiket kapal terbang dan cukai semasa.

Malah, mereka juga dimaklumkan akan menunaikan ibadah haji di bawah kuota rakyat Brunei dan sebagai tetamu kerajaan Arab Saudi.

PAKEJ 'HAJI VIP' SALAH GUNA NAMA PEMIMPIN

Menurut aduan yang dibuat oleh Encik Mohammad Farehan Mohammad Hussein kepada polis pada Rabu, pakej haji 16 hari yang dijanjikan itu dijadualkan dari 16 sehingga 31 Ogos ini.

Malah, sebilangan nama pemimpin politik tempatan juga disalah guna semasa menguar-uarkan tawaran pakej haji tersebut.

Bermula 4 Julai lalu, sejumlah 80 'bakal jemaah' turut dilaporkan sudah menyerahkan pasport mereka.

Bagaimanapun, visa dan pasport mereka masih belum diterima, setakat sehingga aduan berkenaan dibuat.

TAKLIMAT BAGI 'BAKAL JEMAAH' PERJELAS KEADAAN

Menyusuli aduan yang dibuat itu, kumpulan 'bakal jemaah' yang terjejas juga dimaklumkan menerusi kiriman WhatsApp tentang satu taklimat bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul.


Di luar ruang taklimat yang diadakan pada 16 Ogos. (Gambar: BERITAmediacorp)

Mereka yang terjejas diberitahu bahawa “HAJI VIP ini tidak akan berlaku kerana ada bukti kuat bahawa urusan haji ini adalah satu penipuan”, menurut catatan WhatsApp berkenaan.

BERITAmediacorp hadir di lokasi tersebut bagi mendapatkan perincian, namun tidak dibenarkan masuk.

Taklimat yang diadakan di Geylang Road semalam itu, dihadiri sekitar 40 'bakal jemaah' bagi mendapatkan jawapan kepada persoalan tentang isu pakej 'Haji VIP' serta wang mereka yang lesap.

PERCUBAAN & TINJAUAN TIDAK BUAHKAN HASIL

Percubaan BERITAmediacorp untuk mencari pejabat syarikat pelancongan yang terbabit di kawasan Geylang dan bagi menghubungi syarikat dan individu yang terbabit menerusi panggilan telefon juga gagal.

Sehubungan itu, tinjauan online tidak menunjukkan sebarang pakej 'Haji VIP'.

Pencarian di ruang maya bagi sebarang laman media sosial rasmi FR Quran Centre turut dipadam.

FAHRORAZI BUKAN LAGI DALAM SENARAI ARS

Dalam pencarian nama di laman Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Fahrorazi tidak lagi tersenarai dalam Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).


Fahrorazi Sohoi. (Gambar: Petikan skrin dari Youtube)

MUIS enggan mengulas mengenai kes berkenaan memandangkan siasatan masih dijalankan.

Penguasa Islam Singapura itu bagaimanapun mengingatkan masyarakat Islam yang ingin menunaikan ibadah haji supaya mendaftar dengan MUIS di bawah Sistem Pendaftaran Awal Haji (AHRS).

Menurut kenyataan MUIS, hanya ejen pelancongan yang dilantik MUIS sahaja dibenarkan menyediakan khidmat haji.

PENDAKWAH TERKENAL S'PURA

Fahrorazi dikenali dalam kalangan masyarakat Islam tempatan sebagai pendakwah yang sering mengadakan majlis ilmu dan kerohanian.


Majlis selawat yang pernah diadakan Fahrorzi Sohoi. (Gambar: Petikan skrin dari Youtube)

Dia juga memberikan ceramah di pusat Al-Quran, masjid serta majlis zikir dan selawat besar-besaran.

Dia juga sudah mengendalikan syarikat Fahrur Razi Travel and Services bagi khidmat pakej haji dan umrah yang ditubuhkan sejak hampir 15 tahun lalu.

LAPORAN BERKAITAN:

- BERITAmediacorp/im

Top