Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Had penggunaan MediSave lebih tinggi bagi pesakit kronik yang rumit

Bermula Januari depan, pesakit yang mempunyai penyakit kronik yang rumit akan layak mengeluarkan hingga S$700 dari akaun MediSave mereka setiap tahun untuk membantu mengurangkan perbelanjaan mereka, Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan pada Khamis (Mac 5).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Mar 2020 06:27PM Dikemas Kini : 06 Mar 2020 11:21PM

SINGAPURA: Bermula Januari depan, pesakit yang mempunyai penyakit kronik yang rumit akan layak mengeluarkan hingga S$700 dari akaun MediSave mereka setiap tahun untuk membantu mengurangkan perbelanjaan mereka, Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan pada Khamis (Mac 5).

Jumlah itu lebih tinggi daripada had S$500 sekarang.

Mereka yang layak bagi had baru itu adalah pesakit yang sudah membuat bayaran menggunakan MediSave bagi dua atau lebih penyakit di bawah Pelan Pengurusan Penyakit Kronik (CDMP). Pelan ini meliputi 20 penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan angin ahmar.

"Perubahan ini akan membolehkan pesakit mengeluarkan jumlah dari MediSave mereka, sepadan dengan keperluan perubatan mereka," kata MOH.

Dianggarkan 176,000 pesakit akan meraih faedah daripada peningkatan itu, tambah MOH.

Semasa perbahasan peruntukan belanjawan kementeriannya, Menteri Kanan Kesihatan Edwin Tong berkata: "Had pengeluaran yang lebih tinggi meningkatkan fleksibiliti bagi pesakit yang mempunyai keadaan kronik yang kompleks, kerana mereka mungkin menanggung kos lebih tinggi untuk rawatan CDMP mereka."

Beliau menambah bahawa setakat ini, CDMP meliputi 20 keadaan kesihatan, termasuk empat keadaan kesihatan mental: skizofrenia, kemurungan, gangguan bipolar dan keresahan.

"Kami kerap menyemak semula senarai CDMP dengan berunding bersama pakar klinikal, dan akan tambah masalah kesihatan seperti ekzema dalam semakan kami," kata beliau.

Beliau berkata bahawa kementeriannya sedang berusaha untuk meningkatkan unsur kelonggaran di bawah MediSave dalam beberapa "cara utama".

"Kami akan meluaskan MediSave untuk meliputi ketidakupayaan yang teruk di bawah skim Penjagaan Jangka Panjang MediSave yang akan datang. Dengan wang tunai boleh dikeluarkan, pesakit juga akan mempunyai lebih banyak fleksibiliti untuk memilih khidmat penjagaan yang sesuai," katanya.

Pesakit akan dapat terus menggunakan akaun MediSave mereka untuk membiaya rawatan yang sudah diluluskan seperti suntikan vaksin dan pemeriksaan. Mereka juga boleh terus menggunakan akaun MediSave mereka sendiri dan ahli keluarga mereka, hingga had pengeluaran pesakit itu sendiri, kata MOH.

MediSave yang dipertingkat itu bertujuan menyediakan keseimbangan antara perbelanjaan perubatan sekarang dan keperluan penjagaan kesihatan pada masa depan, jelas Encik Tong.

"Kami akan terus menyemak semula had penggunaan MediSave berdasarkan rangka kerja pembiayaan keseluruhannyauntuk menambah fleksibiliti bila mungkin, dan memastikan jumlahnya cukup bagi kebanyakan pesakit setelah mengambil kira subsidi," kata Encik Tong.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan