Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Had pendapatan lebih tinggi, geran perumahan dipertingkat bagi pembeli flat HDB

Lebih ramai pembeli flat kali pertama boleh meraih manfaat daripada satu geran perumahan baru. Mulai esok (11 Sep), para pembeli yang layak boleh memanfaatkan geran baru itu tidak kira jenis flat dan lokasi mahupun flat baru atau jualan semula.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih ramai pembeli flat kali pertama boleh meraih manfaat daripada satu geran perumahan baru.

Mulai esok (11 Sep), para pembeli yang layak boleh memanfaatkan geran baru itu tidak kira jenis flat dan lokasi mahupun flat baru atau jualan semula.

Demikian diumumkan Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong di majlis Anugerah HDB pada Selasa malam (10 Sep).

Had pendapatan isi rumah akan dinaikkan daripada S$12,000 kepada S$14,000 bagi keluarga-keluarga yang ingin membeli flat Bina-Ikut-Tempahan (BTO). Had yang dinaikkan ini juga akan digunakan bagi pinjaman perumahan HDB.

Had pendapatan untuk membeli kondominium eksekutif (EC) juga dinaikkan daripada S$14,000 kepada $16,000.

Untuk golongan bujang berusia 35 tahun ke atas, had pendapatan dinaikkan kepada S$7,000 berbanding S$6,000 sebelum ini.

GERAN PERUMAHAN CPF DIPERTINGKAT BARU

HDB akan memudahkan golongan pembeli rumah kali pertama untuk layak menerim geran-geran perumahan.

Buat masa ini, terdapat dua geran utama yang diberikan untuk flat Bina Ikut Tempahan BTO - Geran Perumahan CPF Khas (SHG) untuk flat 4-bilik atau lebih kecil di estet bukan matang dan Geran Perumahan CPF Tambahan (AHG).

Had pendapatan untuk layak menerima AHG adalah S$5,000, manakala had pendapatan untuk menerima SHG adalah S$8,500.

Dengan perubahan terbaru ini, geran-geran yang ada sekarang - SHG dan AHG diselaraskan menjadi Geran Perumahan CPF yang Dipertingkatkan (EHG) dan tidak mengenakan sekatan terhadap pilihan pembeli bagi jenis flat atau lokasinya dan boleh digunakan untuk flat baru atau jualan semula.

Ia juga mempunyai had pendapatan S$9,000, iaitu lebih tinggi daripada skim-skim AHG dan SHG yang sedia ada.

Sebagai contoh, pasangan yang kedua-duanya berusia 30 tahun dan mempunyai pendapatan bersama sebanyak S$4,800 sebulan dan mahu membeli flat BTO 4-bilik di sebuah estet matang sebelum ini akan hanya menerima geran AHG sebanyak S$5,000. Namun kini mereka layak menerima geran EHG sebanyak S$45,000.

Sekiranya mereka mahu membeli flat jualan semula dengan tempoh pajakan sehingga usia mereka 95 tahun, mereka akan mendapat S$55,000 sebelum ini tetapi jumlahnya meningkat kepada S$95,000 sekarang, iaitu tambahan sebanyak S$40,000.

Namun jika tempoh pajakannya lebih singkat, geran akan diberi secara pro-rata.

Mereka yang membeli flat jualan semula juga boleh mendapatkan Geran Perumahan Berhampiran di samping EHG, jika mereka memenuhi syarat-syarat kelayakan. Ini tidak terhad kepada pembeli rumah kali pertama.

Dengan perubahan ini, HDB menyatakan ia menjangkakan permintaan bagi perumahan awam akan meningkat. Ia dijangka akan menambah bekalan BTO pada 2020.

PORTAL HDB BARU

Encik Wong juga mengumumkan rancangan untuk sebuah portal HDB baru yang akan memberikan pembeli maklumat tentang flat-flat baru yang ditawarkan HDB dan flat jualan semula dalam satu wadah.

Para penjual juga boleh menyenaraikan dan mengiklankan flat mereka serta menyempurnakan proses permohonan penjualan semula di portal itu.

"Semua usaha ini sedang dijalankan dan kami berhasrat menyiapkan portal baru selewat-lewatnya pada hujung tahun depan," tambah Encik Wong.

Dengan had pendapatan yang dinaikkan, had bagi skim bantuan HDB turut dinaikkan dari S$6,000 kepada S$7,000. Ini termasuk Skim Perumahan Permulaan Baru dan Geran Perumahan CPF Step-Up.

Warga emas yang layak dengan pendapatan isi rumah sehingga S$14,000 atau kurang juga layak bagi Skim Beli Balik Pajakan, Bonus Perumahan Warga Emas dan untuk membeli flat Flexi 2-bilik dengan tempoh pajakan pendek, naik daripada had pendapatan S$12,000 sebelum ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan