Images
  • zon perak
    Zon Perak dengan had laju 30km sejam. (Gambar: LTA)

Had laju di sesetengah Zon Perak dikurangkan kepada 30km sejam

SINGAPURA: Had laju di sesetengah lokasi Zon Perak akan dikurangkan kepada 30 kilometer sejam menyusuli satu percubaan yang dijalankan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

LTA menyatakan dalam satu catatan Facebook semalam (12 Ogos) bahawa had laju di dua lokasi Zon Perak - Bukit Merah View dan Jurong West Street 52 - akan dikurangkan daripada 40 kilometer sejam kepada 30 kilometer sejam sebagai sebahagian daripada satu percubaan pada 2020.

"Sewaktu percubaan itu, kami mendapati para pemandu umumnya memandu dengan lebih perlahan dan pergerakan trafik kekal lancar," menurut LTA.

Had laju 30 kilometer sejam itu akan dikuatkuasakan secara tetap di kedua-dua zon tersebut, menurut penguasa berkenaan, sambil menambah had laju lebih rendah juga akan dilaksanakan secara bertahap-tahap di sesetengah Zon Perak dalam beberapa bulan mendatang tahun ini.

Zon-zon tersebut adalah seperti berikut:

  • Lorong 8 (separa) dan Lorong 8A Toa Payoh
  • Bedok North Street 3, Avenue 1 (separa) dan Avenue 2 (separa)
  • Commonwealth Drive (separa)
  • Lengkok Bahru, Jalan Tiong dan Redhill Road
  • Potong Pasir Avenue 2

Zon Perak yang diperkenalkan pada 2014 terletak di kawasan-kawasan dengan ramai penduduk warga emas. Had laju 40 kolimeter sejam dikenakan di zon-zon tersebut seberapa mungkin.

Zon-zon sedemikian juga mempunyai laluan jalan raya lebih sempit dan bonggol agar pemandu memandu dengan lebih perlahan selain tempat lalu lintas dua peringkat bagi membolehkan warga emas berehat sebentar di bahagian tengah.

"Kami berharap orang ramai boleh terus memainkan peranan mereka untuk menjadikan jalan raya kita lebih selamat," menurut LTA.

"Bagi para pengguna jalan raya, pandu dengan perlahan apabila berada di Zon Perak dan prihatin terhadap pengguna jalan raya yang lebih mudah terlibat dalam kemalangan."  

- CNA/SM/sm

Top