Images
  • state courts
    Gambar fail Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar: Xabryna Kek)

Guru wanita yang jalin hubungan seks dengan pelajar 15 tahun dipenjara

SINGAPURA: Seorang guru wanita yang mengeksploitasi secara seksual seorang pelajarnya yang berusia 15 tahun semasa bercuti inap (staycation), dihukum penjara dua tahun tiga bulan pada Isnin (10 Jun).

Mahkamah diberitahu bahawa hubungan antara guru sekolah menengah dan remaja itu pada mulanya tidak mesra kerana pelajar lelaki itu tidak mencatat prestasi baik dalam subjek Matematik yang diajar gurunya itu.

Guru wanita itu bagaimanapun mula berpacaran dengan remaja lelaki itu dan ia berterusan selama sembilan bulan. Mahkamah diberitahu bahawa pasangan itu sedang bercuti inap apabila guru itu dan pelajarnya saling melakukan aksi-aksi seksual ke atas satu sama lain antara 28 Nov hingga 2 Dis 2016.

Remaja itu yang 11 tahun lebih muda daripada gurunya, berbohong kepada ibunya dengan mengatakan dia menghadiri kem Pasukan Kadet Kebangsaan (NCC).

Wanita itu yang kini berusia 29 tahun mengajar subjek-subjek Matematik dan Bahasa Inggeris di sebuah sekolah sejak 2014 dan dia kini digantung kerja. Sekolah itu pula tidak dinamakan.

Identiti kedua-dua mereka juga tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah.

Para peguam wanita itu menyatakan, kedua-dua juga tidak lagi menjalin hubungan.

Guru itu, yang hadir di mahkamah dengan diriingi keluarganya, berdiri dalam kandang tertuduh dengan kepala tertunduk, mengaku bersalah pada Isnin atas dua tuduhan menyebabkan kanak-kanak bawah umur bersetubuh dengannya dan dua lagi tuduhan mengeksploitasi orang muda. Lima lagi tuduhan lain diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Timbalan Pendakwa Raya Yvonne Poon meminta kepada mahkamah agar wanita itu dihukum penjara dua tahun. Ini kerana kelakuannya menyalahgunakan amanah seorang guru adalah faktor yang sangat memburukkan lagi kes kerana dia merupakan "pendidik yang diamanahkan untuk mendidik kanak-kanak bawah umur yang muda dan mudah terpengaruh".

GURU TIDAK PERDAYA, PAKSA ATAU BERI TEKANAN: PEGUAM BELA

Peguam bela guru itu, T M Sinnadurai menggesa mahkamah agar "menimbangkan hukuman ringan", sambil berkata bahawa anak guamnya "tidak akan dapat lagi bekerja dalam industri pendidikan" pada masa depan.

"Tertuduh tidak menipu remaja bawah umur itu," katanya. "Dia tidak menakut-nakutkannya supaya mengadakan hubungan itu, dia tidak memeras ugut (dan) tidak memberi tekanan kepada remaja bawah umur itu. Semuanya atas dasar dasar suka sama suka."

Beliau merujuk kepada laporan perubatan yang menyatakan seorang doktor berpendapat walaupun guru itu mengetahui bahawa hubungannya itu tidak wajar, "dia tidak terdaya untuk mengelaknya oleh sebab kelemahannya sehingga tidak dapat bertindak dengan tegas".

"Hubungannya dengan remaja bawah umur itu adalah selama tempoh sembilan bulan dan ia tidak begitu lama berbanding (sebuah lagi kes)."

Encik Sinnadurai menambah mangsa "tidak mengalami trauma dari segi fizikal mahupun psikologi" dan meminta mahkamah supaya mengambil kira bahawa guru itu sudah pun mengambil langkah meminta rawatan psikiatrik, yang akan membantu pemulihannya.

Pihak pendakwa membalas bahawa remaja bawah umur "dianggap tidak berupaya menghayati keseriusan tindakan mereka secara keseluruhannya", dan hujah-hujah peguam bela itu seolah-olah menyalahkan mangsa.

HUKUMAN BERAT ADALAH WAJAR: HAKIM

Hakim Daerah Christopher Tan berkata faktor yang membezakan kes itu daripada kes-kes mengeksploitasi kanak-kanak atau orang muda adalah kelakuan menyalahgunakan amanah.

"Tertuduh diamanahkan bukan sahaja oleh para pelajar tetapi juga para ibu bapa dan sistem pendidikan," kata beliau. "Dengan meneruskan kelakuan sedemikian terhadap seorang pelajar di bawah jagaannya, unsur pecah amanah adalah ketara."

Hakim Tan menambah "hukuman jauh lebih berat" adalah wajar dan lantaran itu beliau menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan lebih lama berbanding tempoh yang diminta pihak pendakwa.

Atas kesalahan menyebabkan kanak-kanak bawah umur bersetubuh dengannya, dengan atau tanpa izinnya, guru itu boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun dan/atau denda. Atas kesalahan mengeksploitasi orang muda, dia boleh dihukum penjara hingga lima tahun dan/atau denda S$10,000.

- CNA/ZM/zm

Top