Images
  • ustazah1
    Ustazah Sri Nurayu diiktiraf sebagai pelajar yang meraih keputusan cemerlang. (Gambar: MUIS)

Guru Madrasah Wak Tanjong raih keputusan cemerlang, ungguli kohortnya di Politeknik Republik

BERITAMediacorp: Seramai 13 guru madrasah berjaya meraih Diploma Pakar yang ditawarkan oleh Politeknik Republik.

Di kalangan 13 guru madrasah itu, Ustazah Sri Nurayu, seorang guru dari Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, diiktiraf sebagai pelajar yang meraih keputusan cemerlang serta menduduki tempat pertama dalam kohortnya.

Majlis konvokesyen tersebut diadakan di Pusat Kebudayaan Republik pada 5 Mei lalu.


Malah, Ustazah Sri Nurayu berkongsi bahawa niatnya menyertai kursus tersebut adalah untuk memperbaiki dirinya demi memberikan pendidikan yang lebih baik dan bermakna buat para pelajar-pelajarnya.

"Sejujurnya, untuk mengimbangi ketiga-tiga perkara ini bukanlah mudah buat saya, lebih-lebih lagi apabila perlu mengejar tarikh akhir (deadlines) di tempat kerja dan juga tugasan kerja kursus (coursework assignments) yang perlu dihantar pada tempoh yang ditetapkan.

"Bagaimanapun, saya bersyukur mempunyai suami, keluarga dan penyelia (supervisor) yang sangat memahami dan sentiasa memberikan sokongan sepanjang pengajian saya ini," katanya, yang sebelum ini mendapat pendidikan di Universiti al-Azhar.

Program selama 11 bulan itu, adalah salah satu daripada usaha Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) yang menaja guru-guru madrasah secara individu untuk menjalani kursus Diploma Pakar bagi Pembelajaran dan Pengajaran Gunaan (SDALT) di politeknik tersebut.

Kementerian Pendidikan (MOE) juga memberikan subsidi bagi program berkenaan.

SDALT yang dianjurkan bagi guru-guru madrasah Singapura itu turut menawarkan lapan modul yang mengiktiraf mereka dengan dua sijil iaitu, (i) Sijil Pos Diploma dalam Amalan Pengajaran dan (ii) Sijil Pos Diploma dalam Membentuk Kurikulum dan Penilaian.

Sejurus selepas guru-guru madrasah tersebut tamat menjalani kedua-dua kursus itu, mereka akan diberikan sijil Diploma Pakar dalam Pembelajaran dan Pengajaran Gunaan (SDALT).

Ustaz Mohd Nasrullah, yang menjalani kursus tersebut bersama isterinya, Ustazah Sri Nurayu, turut berkata bahawa kesemua modul yang diambilnya sangat menarik dan bermanfaat.

Ini kerana modul-modul tersebut boleh diamalkan dalam kerjayanya dan kehidupan secara umumnya.


(Gambar-gambar: MUIS)

"Pada penghujung modul, kami dapat lihat bahawa setiap modul memberikan tumpuan yang sangat spesifik dan sekaligus memberikan satu gambaran yang menyeluruh supaya kita sebagai guru peka akan setiap langkah yang kita lakukan ketika mendidik pelajar-pelajar di sekolah.

"Dengan ini juga, ia semacam sesi muhasabah bagi diri saya kerana ia membangunkan kelemahan yang perlu saya perbaiki sebagai seorang guru," katanya yang kini mengajar di Madrasah Aljunied Al-Islamiah.

Menurut kenyataan media MUIS, guru-guru madrasah daripada kesemua enam madrasah sepenuh masa itu ditaja pihaknya bagi mengikuti program SDALT.

Program tersebut juga bertujuan untuk melengkapi guru-guru madrasah dengan kelayakan pengajaran profesional, kecekapan dan pengetahuan terkini dalam pengajaran dan pembelajaran.

Sejak tahun 2008, MUIS membelanjakan lebih $3 juta bagi latihan guru yang merangkumi kedua-dua program berstruktur yang dianjurkan dengan kerjasama NIE dan ECU, bengkel dan seminar.

MUIS turut menyokong pembangunan kepimpinan dan menaja ketua-ketua jabatan madrasah bagi mengikuti program Pengurusan dan Kepimpinan di Sekolah-Sekolah (MLS) yang ditawarkan NIE setiap tahun. 

- BERITAMediacorp/im

Top