Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Guru harus manfaatkan kursus Amalan Pengajaran S'pura jadikan kelas Bahasa Melayu seronok

Hampir 40 guru permulaan Bahasa Melayu sudahpun mengikuti kursus Amalan Pengajaran Singapura (STP) yang baru dianjurkan sejak awal bulan ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hampir 40 guru permulaan Bahasa Melayu sudahpun mengikuti kursus Amalan Pengajaran Singapura (STP) yang baru dianjurkan sejak awal bulan ini.

Berpandukan model pengajaran dan pembelajaran yang berkesan itu, ia diharap menjadikan guru-guru dapat mencungkil idea segar lagi menyeronokkan di dalam kelas.

Demikian menurut Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan Dr Muhammad Faishal Ibrahim semasa ditemui di acara ceramah Arif Budiman ke-14 pada Jumaat (20 Jul).

BANTU MEKARKAN CINTA BAHASA IBUNDA

Apakah yang perlu dipertingkatkan agar golongan pelapis cinta akan bahasa ibunda mereka?

Itulah salah satu cabaran yang tidak lekang daripada minda guru-guru Bahasa Melayu setempat. Mentelah lagi dengan 'godaan' Bahasa Inggeris yang lebih digunakan golongan milenial kini, semestinya penting bagi para pendidik membekalkan diri mereka dengan kaedah pengajaran baru.

Semua itu dilakarkan dalam kursus Amalan Pengajaran Singapura (STP) untuk dimanfaatkan guru-guru.

"STP menggalak guru menyelaraskan antara teori dan amalan pengajaran supaya kaedah yang digunakan sentiasa relevan dan menyeronokkan," ulas Dr Faishal.

"STP membantu setiap guru menjadi lebih yakin dan reflektif dalam amalan pengajaran mereka untuk membantu setiap pelajar belajar dengan berkesan dan seronok belajar di bilik darjah."

Cik Fauziah Muhd Fadzillah pula berpendapat proses mendalami cara mengajar dapat membantu beliau dan rakan-rakan setugas mejadi "guru yang lebih berkesan".

"Majlis Bahasa Melayu Singapura juga menyediakan program-program untuk saya dan rakan-rakan guru saya demi memastikan kami dapat mempertingkat diri dari aspek pedagogi, untuk memperdalami pedagogi dan juga pengetahuan bahasa," kongsi guru kanan Sekolah Rendah Fengshan itu.

"Ini supaya kami dapat menjadi guru yang lebih berkesan, menjalankan pengajaran yang lebih efektif dan menyeronokkan di dalam bilik darjah."

3 CARA KEKANG PELUNTURAN BAHASA

Sempena siri ceramah Arif Budiman kali ini, sekitar 130 guru yang hadir turut berpeluang menimba pengalaman mantan Menteri Negara Kanan, Sidek Saniff.

Dalam kertas ucaptama bertajuk 'Naratif Melayu Singapura: Cabaran Berbahasa', Encik Sidek membawa para guru menyusur sejarah penggunaan Bahasa Melayu, kepentingan dan perkembangannya.

"Saya nyatakan tiga perkara yang dapat menolak sebarang kehanyiran yang datang daripada Bahasa Inggeris; iaitu kita kena perkuatkan tentang bahasa kita, belajar tentang kesusasteraan kita dan kita kuatkan pegangan agama kita. Jadi dengan tiga unsur ini saya rasa ia boleh menjadi alat pengekang - "cultural ballast" - di dalam mengharungi dunia berbahasa Inggeris sekarang ini," jelas Encik Sidek.

Cik Salinah Rahman, guru kanan Sekolah Rendah Tampines North, antara salah seorang yang hadir dan memanfaatkan perkongsian Encik Sidek.

"Daripada ceramah ini, saya juga sedar betapa pentingnya peranan saya sebagai seorang guru Bahasa Melayu untuk membina jati diri saya dan juga memupuk minat yang lebih dalam murid-murid.

"Jadi saya akan lakukannya di dalam kelas saya, pengajaran saya. Setiap kali menggunakan cara-cara yang lebih kreatif supaya murid-murid ini mereka hendak bertutur dalam Bahasa Melayu," kongsi Cik Salinah

Siri ceramah Arif Budiman anjuran Majlis Bahasa Melayu Singapura (MLCS) bertujuan memperdalam pengetahuan masyarakat tentang bahasa dan budaya Melayu serta meningkatkan usaha melestarikannya.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan