Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Guru dipenjara kerana cium pelajar 14 tahun dua kali

Seorang guru dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan pada Selasa (3 Sep) kerana mencium seorang pelajar berusia 14 tahun sebanyak dua kali di bibirnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Guru dipenjara kerana cium pelajar 14 tahun dua kali

Gambar fail. (Gambar: Xabryna Kek)

Diterbitkan : 03 Sep 2019 02:33PM Dikemas Kini : 03 Sep 2019 02:36PM

SINGAPURA: Seorang guru dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan pada Selasa (3 Sep) kerana mencium seorang pelajar berusia 14 tahun sebanyak dua kali di bibirnya.

Lelaki berusia 35 tahun itu, yang identitinya tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah, mengaku bersalah atas satu dakwaan mengeksploitasi seseorang di bawah umur secara seksual.

Mahkamah dimaklumkan bahawa lelaki itu mengajar para pelajar peringkat menengah di sebuah sekolah yang namanya tidak didedahkan dalam dokumen mahkamah.

Dia juga menyelia kegiatan luar darjah (CCA) yang disertai oleh mangsa. Dia mula mengenali mangsa itu sebagai guru CCA dan mengirimkan pesanan teks kepada pelajar tersebut.

Sebelum insiden itu berlaku, mereka berjumpa beberapa kali, pertama untuk menggunting rambut dan minum kopi pada 18 Jul, 2018, kemudian untuk minum teh di sebuah pusat beli-belah seminggu kemudian.

Pada 28 Jul tahun lalu, guru tersebut menemani sekumpulan pelajar, termasuk mangsa, untuk menonton persembahan teater.

Setelah persembahan itu berakhir, guru tersebut meminta mangsa untuk makan malam bersamanya di sebuah restoran Jepun, dan beliau bersetuju.

Setelah makan malam, pelajar perempuan itu duduk di sebelah guru tersebut kerana diminta berbuat demikian, dan guru itu kemudian meletakkan lengannya di bahunya, sebelum mendekati dan mencium bibir pelajar tersebut.

"Mangsa terkejut dan gementar," menurut pihak pendakwa. "Beliau berasa malu dan takut. Oleh kerana beliau tidak pasti bagaimana untuk bertindak, beliau ketawa."

Mereka meninggalkan restoran itu dan pelajar itu memberitahu beliau ingin pulang ke rumah. Bagaimanapun guru tersebut sekali lagi mencium bibirnya.

Timbalan Pendakwa Raya Ben Mathias Tan meminta agar dia dijatuhi hukuman penjara sekurang-kurangnya lapan bulan, sambil berkata bahawa orang-orang di bawah umur patut dilindungi daripada dieksploitasi secara seksual dan langkah pencegahan mencukupi perlu disediakan bagi mencegah perbuatan sedemikian.

"Anak guam saya ingin mengatakan tiada sebarang alasan yang boleh diberikan bagi menjelaskan perbuatannya itu," menurut peguam bela Encik Raphael Louis, sambil menambah bahawa anak guamnya sudah mengaku bersalah.

Dia boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga lima tahun, didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan di bawah Akta Kanak-kanak dan Orang Muda.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan