Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GST ke atas semua barangan import dibeli online mulai 2023 antara usulan pindaan Akta

Bayaran GST akan dikenakan ke atas semua barangan import mulai 2023 di bawah pindaan yang diusulkan terhadap Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan di bawah Rang Undang-Undang (Pindaan) Cukai Barangan dan Perkhidmatan yang dibentangkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) bagi bacaan pertama pada Isnin.

Anggaran Waktu Membaca:
GST ke atas semua barangan import dibeli online mulai 2023 antara usulan pindaan Akta

(Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 04 Oct 2021 08:17PM Dikemas Kini : 04 Oct 2021 08:19PM

SINGAPURA: Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dikenakan ke atas semua barangan import mulai 2023 di bawah pindaan yang diusulkan terhadap Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan di bawah Rang Undang-Undang (Pindaan) Cukai Barangan dan Perkhidmatan yang dibentangkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) bagi bacaan pertama pada Isnin (4 Okt).

Salah satu daripada perubahan itu akan menyaksikan GST diperkenalkan mulai 1 Januari 2023 ke atas barangan berharga rendah yang diimport melalui khidmat udara atau kiriman pos, dan perkhidmatan bukan digital yang diimport untuk perniagaan kepada pengguna (B2C) seperti interaksi secara langsung dengan penyedia luar negara bagi pembelajaran pendidikan dan teleperubatan.

Buat masa ini, import barangan dan perkhidmatan sedemikian tidak dikenakan GST.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat berkata dalam ucapan Belanjawan beliau pada awal tahun ini bahawa langkah itu akan meliputi barangan bernilai sehingga S$400.

Ini bermakna GST akan dikenakan ke atas semua pembelian online dibuat daripada peruncit luar negara kerana barangan yang diimport masuk menerusi jalan laut atau darat, atau dianggarkan bernilai lebih S$400, sudah pun dikenakan GST.

Satu lagi pindaan yang diusulkan adalah kemas kini terhadap tuntutan GST bagi pembekalan penjualan media. Penjualan sedemikian merujuk kepada penjualan ruang iklan bagi bahan cetak dan iklan di luar bangunan, penjualan masa iklan bagi penyiaran di televisyen dan radio, dan penjualan ruang media bagi iklan menerusi emel, Internet atau peranti mudah alih.

Mulai 1 Januari depan, bayaran GST itu bergantung pada tempat asal pelanggan dan penerima khidmat itu berbanding dengan di mana iklan itu diedarkan.

Jika pelanggan khidmat itu berasal dari luar Singapura dan sasaran langsungnya sama ada berada di luar Singapura atau berdaftar GST di Singapura, penjualan media itu akan dikenakan kadar sifar GST. Jika tidak, GST akan dikenakan pada kadar biasa, menurut MOF.

Pindaan lain yang diusulkan bertujuan untuk "membaiki pentadbiran GST dan perundangan sedia ada dengan lebih jelas", menurut MOF.

Pindaan ini termasuk kemas kini terhadap peraturan peralihan, yang menentukan sama ada bayaran GST yang lama atau baru tertakluk, perubahan dalam tuntutan bayaran GST serta satu lagi perubahan pelbagai terhadap rejim Pendaftaran Penjual Luar Negara dan rejim bayaran balik 'Reverse Charge'. Kedua-dua rejim itu digunakan untuk mengenakan GST ke atas barangan import bernilai rendah dan/atau khidmat B2B atau B2C yang diimport.

MOF juga menarik perhatian bahawa Rang itu mengambil kira maklum balas hasil rundingan awam MOF berhubung draf Rang GST (Pindaan) 2021 dari 6 Julai hingga 27 Julai lalu.

Bacaan kedua Rang ini akan diadakan pada Januari tahun depan.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan