Images
  • grc sembawang
    Menteri Pendidikan Ong Ye Kung akan pimpin pasukan PAP, lawan pasukan NSP bagi GRC Sembawang. (Gambar: Ray Yeh)

GRC Sembawang ditandingi NSP & pasukan PAP pimpinan Ong Ye Kung

SINGAPURA: Menteri Pendidikan Ong Ye Kung akan memimpin pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk bersaing dengan para calon daripada Parti Perpaduan Nasional (NSP) di GRC Sembawang dalam Pilihan Raya Umum 2020.

Pasukan PAP turut dianggotai mantan Anggota Parlimen (AP) Lim Wee Kiak dan Vikram Nair, di samping muka baru Cik Poh Li San, iaitu Naib Presiden Changi Airport Group, serta Cik Mariam Jaafar, seorang rakan kongsi dan pengarah urusan (Singapura) bagi Boston Consulting Group.

Mereka akan bertarung dengan setiausaha agung NSP Spencer Ng, bendahari parti Ivan Yeo Tiong Boon, mantan presiden NSP Sebastian Teo, pengarah pembangunan perniagaan Yadzeth Hairis dan pemilik perniagaan Sathin Ravindran. Encik Ng dan Encik Yadzeth adalah sebahagian pasukan NSP yang bertarung di GRC Sembawang semasa Pilihan Raya Umum pada 2015.

Pencalonan mereka disahkan pada Hari Penamaan Calon hari ini (30 Jun).

Sebelum ini, GRC Sembawang dipimpin oleh Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan, yang mengumumkan pada Jumaat (26 Jun) bahawa beliau akan bersara daripada arena politik. Kawasan undinya dipegang PAP sejak dibentuk pada 1988.

Pada Pilihan Raya 2015, lawan PAP adalah NSP, dengan PAP menang 72.3 peratus undi.

Encik Lim dari PAP meminta supaya ada "kempen adil dan selamat", selain menegaskan bahawa tidak harus ada kempen negatif atau serangan peribadi.

"Ayuh kita memberikan tumpuan kepada cabaran-cabaran dan isu-isu yang dihadapi Sembawang, mahupun Singapura," kata beliau.

Encik Ng dari NSP dalam ucapannya pula berkata, para pengundi Sembawang harus memilih NSP kerana "perubahan adalah satu kewajiban".

"Pilihan Raya Umum adalah tanggungjawab kita bersama, ia peluang kita untuk memilih barisan pemimpin yang lebih baik, lebih kuat, supaya anda diwakili," katanya.  


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

- CNA/AQ/aq

Top