Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Grace Fu tuntut Leon Perera mohon maaf kerana tuduh Mediacorp sunting rakaman video parlimen

Ketua Dewan Parlimen, Grace Fu, mengirim surat kepada Encik Leon Perera daripada Parti Pekerja (WP) dan memintanya untuk memohon maaf di Parlimen kerana memberi gambaran salah fakta-fakta dan memperdaya para anggota parlimen.

Anggaran Waktu Membaca:
Grace Fu tuntut Leon Perera mohon maaf kerana tuduh Mediacorp sunting rakaman video parlimen

Cik Grace Fu (kiri) tuntut permohonan maaf Encik Leon Perera.

Diterbitkan : 03 Jan 2018 11:39PM Dikemas Kini : 03 Jan 2018 11:43PM

SINGAPURA: Ketua Dewan Parlimen, Grace Fu, mengirim surat kepada Encik Leon Perera daripada Parti Pekerja (WP) dan memintanya untuk memohon maaf di Parlimen kerana memberi gambaran salah fakta-fakta dan memperdaya para anggota parlimen.

Dalam suratnya yang bertarikh hari ini (3 Jan), Cik Fu juga ingin Encik Perera menarik balik tuduhannya yang salah terhadap Mediacorp.

Dalam hal ini, Encik Perera mengatakan pada November 2017 bahawa Mediacorp memuat naik video yang merakam detik perbincangan di parlimen dengan "beberapa bahagian yang ditapis". Encik Perera menambah, Mediacorp juga membuat pembetulan selepas beliau menghubungi penyiar itu.

Video berkenaan merupakan klip soal jawab di Parlimen semasa perbahasan tentang Akta Pilihan Raya Presiden pada bulan Februari tahun lalu.

GRACE FU: "LAKUKAN PERKARA YANG BETUL"

Dalam suratnya kepada Encik Perera bertarikh 3 Januari 2018, Cik Fu menulis: "Tuduhan anda di Parlimen pada 7 November 2017 memberi gambaran fakta yang salah dan jika ia tidak dibetulkan, akan mengelirukan Parlimen. Ini perkara serius."

Beliau meminta agar Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) itu membetulkan gambarannya yang salah dalam Parlimen pada 8 Januari dalam bentuk kenyataan peribadi yang meliputi perkara-perkara berikut:

- Bahawa tuduhannya yang Mediacorp sengaja menyunting rakaman video di Parlimen dan menapis beberapa bahagian video tersebut, dan Mediacorp "membuat pembetulan dan memuat naik video yang lain" selepas beliau campur tangan, adalah tidak benar.

- Bahawa beliau menerima penjelasan Mediacorp lama sebelum sidang parlimen pada 7 November.

- Bahawa beliau menarik sepenuhnya tuduhan terhadap Mediacorp.

- Bahawa beliau memohon maaf kepada dewan kerana memberi gambaran salah dan memperdaya parlimen.

"Saya harap dengan adanya masa untuk anda renung kembali tentang hal itu, anda akan melakukan perkara yang betul dan memberi contoh yang baik dalam memastikan politik Singapura bersih dan jujur," kata Cik Fu dalam suratnya.

Para anggota parlimen harus "teliti dengan fakta-fakta (yang ada)," tambah Cik Fu. "Mereka tidak harus menyalahgunakan hak mereka untuk memberi gambaran salah atau membuat tuduhan yang tidak berasas. Ini akan menjejas kedudukan para AP dan Parlimen, selain kewibawaan sistem politik kita."

MCI MINTA PENJELASAN SEPENUHNYA

Encik Perera mengirim emel kepada Mediacorp pada 20 Februari 2017 untuk menanyakan mengapa sebahagian rakaman video Parlimen tidak dimuat naik secara online. Mediacorp menjawab pada hari yang sama, dan menerangkan bahawa ada masalah teknikal yang menjejas rakaman, dan bahawa isu itu sudah ditangani dua hari sebelumnya iaitu pada 18 Februari.

Pada 21 Februari, Encik Perera menjawab Mediacorp dan menerima penjelasannya.

Komunikasi antara Encik Perera dan Mediacorp menarik perhatian Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) yang kemudian menyuruh Mediacorp memberi "laporan lengkap".

Seorang jurucakap MCI berkata, "Mediacorp, sebagai penyiar Singapura, ditugaskan pemerintah untuk memberi liputan tentang semua perbincangan Parlimen.

"Memandangkan tuduhan terhadap Mediacorp serius, MCI menyuruh Mediacorp untuk memberi penerangan fakta yang lengkap seperti yang digariskan oleh Encik Perera, dan ia sudahpun memberikan butiran-butiran itu."

Menjawab pertanyaan tentang mengapa Cik Fu menulis kepada Encik Perera hampir dua bulan selepas beliau membuat tuduhan, MCI mengatakan bahawa forum yang sesuai bagi Encik Perera untuk menjernihkan keadaan adalah di Parlimen, tempat di mana beliau mengeluarkan komen-komen tersebut.

"Sidang seterusnya selepas sidang pada November sememangnya pada 8 Januari nanti," kata jurucakap itu.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan