Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GrabFood, Deliveroo & Foodpanda perketat peraturan terhadap penghantar makanan warga asing

Syarikat-syarikat penghantaran makanan - GrabFood, Deliveroo dan Foodpanda - sudahpun mengambil langkah-langkah untuk memastikan para warga asing tidak bekerja secara haram sebagai penghantar makanan.

Anggaran Waktu Membaca:
GrabFood, Deliveroo & Foodpanda perketat peraturan terhadap penghantar makanan warga asing

Gambar hiasan. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 11 Sep 2019 08:08AM Dikemas Kini : 11 Sep 2019 08:10AM

SINGAPURA: Syarikat-syarikat penghantaran makanan - GrabFood, Deliveroo dan Foodpanda - sudahpun mengambil langkah-langkah untuk memastikan para warga asing tidak bekerja secara haram sebagai penghantar makanan.
Ini berikutan isu berhubung warga asing yang bekerja secara haram sebagai penghantar makanan seperti dibangkitkan oleh Anggota Parlimen GRC Nee Soon Lee Bee Wah di Parlimen pada Rabu (4 Sep).

Cik Lee berkata para penduduknya "memberitahu beliau bahawa mereka seringkali melihat motosikal-motosikal berdaftar di Malaysia menghantar makanan".

Sebagai respons, Menteri Negara Tenaga Manusia Zaqy Mohamad berkata dua rakyat Malaysia sudahpun ditangkap pada April kerana bekerja sendiri sebagai penghantar makanan. Mereka berada di Singapura menggunakan pas lawatan sosial (SVP).

Encik Zaqy memberitahu Parlimen bahawa warga asing diharamkan bekerja sendiri sebagai penghantar makanan bersama syarikat-syarikat penghantaran makanan.

"MOM sudahpun mengambil tindakan ke atas para pemegang pas lawatan sosial yang bekerja secara haram sebagai penghantar makanan," kata Encik Zaqy sambil menambah bahawa pesalah boleh didenda sehingga S$20,000, dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

Perangkaan menunjukkan bahawa dari 2016 hingga 2018, sekitar 900 pemegang SVP diberi amaran kerana bekerja secara haram manakala lagi 550 majikan sudah dikenakan tindakan kerana mengambil secara haram para pemegang SVP untuk bekerja dengan mereka.

Apabila Mediacorp bertanyakan kepada Deliveroo apakah langkah-langkah yang sudahpun dilaksanakan untuk mengelakkan perkara sedemikian daripada berlaku, jurucakapnya berkata: "Kesemua pekerja penghantaran makanan yang bekerja dengan Deliveroo mesti mempunyai hak untuk bekerja di Singapura. Kami memerlukan semua pekerja penghantaran makanan untuk menjadi sama ada seorang warga Singapura atau seorang penduduk tetap. Para pekerja penghantaran makanan yang diambil oleh Deliveroo akan diperiksa bagi semua itu dahulu sebelum mereka boleh mula bekerja".

Grab menyatakan ia mempunyai proses mantap bagi pendaftaran rakan kongsi penghantaran supaya dapat memastikan perkara sedemikian dapat dielakkan.

"Misalnya, rakan kongsi pengahntaran perlu memuat naik butiran pengenalan diri mereka semasa pendaftaran dan pasukan kami akan menjalankan satu siri pemeriksaan dan pengesahan terhadap maklumat yang diserahkan apabila para pemohon yang berjaya datang ke pusat kami utnuk mengambil pakaian seragam serta beg penghantaran mereka," kata seorang jurucakap Grab.

Foodpanda menyatakan pasukan pengambilan pekerja penghantaran makanan mereka menguruskan permohonan bagi permit kerja dan ia mempunyai kawalan ketat sepanjang proses tersebut dijalankan.

"Semasa menandatangani perjanjian dan proses pengambilan pekerja, kami memastikan setiap pekerja mematuhi peraturan untuk bekerja di Singapura. Kami memastikan mereka mempunyai lesen memandu yang sah dan perlindungan insurans serta menyimpan maklumat mereka di dalam rekod kami," kata seorang jurucakap Foodpanda.

MOM menyatakan dua warga Malaysia yang ditangkap menggunakan akaun-akaun Deliveroo dan Foodpanda rakyat Singapura untuk menerima tempahan makanan bagi penghantaran. Mereka kemudian akan menghulurkan sebahagian pendapatan yang diraih kepada pemilik akaun tersebut.

Kedua-dua kes tersebut masih lagi disiasat, menurut MOM.

PEMILIK AKAUN BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP PENGGANTI

Syarikat-syarikat penghantaran makanan itu menyatakan para pemegang akaun kadangkala perlu mencari pengganti atas pelbagai alasan.

Bagaimanapun, Deliveroo menjelaskan, mereka dipertanggungjawabkan mengikut kontrak untuk memeriksa sama ada pengganti mereka itu boleh bekerja di sini.

Deliveroo enggan mengulas mengenai jumlah atau mana-mana kes berhubung pelanggaran dalam penggunaan akaun.

Sementara itu, Grab sudahpun melaksanakan ciri pengesahan swafoto tambahan di mana para pekerja diminta untuk mengesahkan identiti mereka dengan mengambil gambar muka apabila mereka log masuk ke dalam aplikasi GrabFood bagi menandakan kesediaan mereka untuk bekerja.
 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan