Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Grab perkenal kenderaan eletrik "tepat pada masa", tawar 200 Hyundai Kona

Syarikat kereta sewa Grab dijangka menggunakan 200 kenderaan elektrik secara bertahap-tahap bermula esok (11 Jan) untuk menawarkan khidmatnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 10 Jan 2019 03:11PM Dikemas Kini : 11 Jan 2019 12:21AM

SINGAPURA: Syarikat kereta sewa Grab dijangka menggunakan 200 kenderaan elektrik secara bertahap-tahap bermula esok (11 Jan) untuk menawarkan khidmatnya.

Syarikat itu mengesahkan bahawa ia sudah membeli 200 kereta elektrik Hyundai Kona 64 kWH. Sebagai permulaan, 20 kereta elektrik akan mula digunakan esok (11 Jan) sementara yang lain akan diperkenalkan secara bertahap-tahap sepanjang beberapa minggu akan datang, kata ketua GrabRental, Kau Yi Ming dalam satu wawancara dengan pihak media.

"Dengan 200 kereta ini, kami juga akan menjadi salah satu syarikat dengan jumlah terbesar kereta elektrik. Kami ingin merebut peluang ini untuk memperkenalkan kenderaan elektrik kepada kedua-dua pemandu dan penumpang Grab," kata Encik Kau.

"Kami berasa sudah sampai masanya untuk memperkenalkan platform pasaran besar-besaran seperti ini, teknologi semakin canggih sehingga ia boleh dimanfaatkan untuk menawarkan khidmat seperti ini," tambahnya.

Encik Kau menjelaskan bahawa Grab akan bekerjasama dengan Singapore Power (SP) untuk menyediakan rangkaian tempat cas.

"Kami akan bekerjasama dengan SP dalam isu ini, dan ia sudah memperkenalkan sekitar 40 tempat cas setakat lewat 2018, separuh daripadanya mampu mengecas kenderaan elektrik dengan pantas," kata Encik Kau.

Tempat-tempat cas ini membolehkan Hyundai Kona 80 peratus dicas dalam tempoh 30 minit dan Encik Kau akur bahawa ini "sangat penting" bagi para pemandunya yang sering mengejar masa. Apabila kereta tidak dapat dicas dengan pantas, ia akan mengambil masa sehingga lapan jam.

Maka itu, Encik Kau berkata Grab sedang bekerjasama dengan SP untuk memastikan bahawa tempat-tempat cas terletak di kawasan-kawasan sesuai, seperti berdekatan tempat makan supaya para pemandu boleh makan tengah hari sementara menunggu kenderaan mereka dicas.

Beliau menambah, pilihan kenderaan elektrik sudah menarik sekitar 100 pemandu, yang akan menghadiri bengkel dan ujian memandu sebelum dibenarkan menggunakan kereta-kereta itu.

Bagi mengurangkan kos pula, Grab menyatakan ia juga menawarkan diskaun sehingga 30 peratus bagi para pemandunya untuk mengecas kereta, dan Encik Kau menjangkakan para pemandu boleh menjimatkan sehingga 70 peratus kos minyak bagi kereta biasa. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan