Images
  • grabwheels
    Seorang pelajar NUS menggunakan e-skuter. (Gambar: NUS) 

Grab, NUS uji khidmat kongsi e-skuter di kampus

SINGAPURA: Satu ujian selama tiga bulan sudah dimulakan bagi khidmat kongsi e-skuter Grab - GrabWheels - di kampus Kent Ridge di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Khidmat e-skuter disediakan di lapan stesen letak skuter di kampus dalam projek perintis itu yang menguji khidmat GrabWheels buat pertama kali di Singapura. Demikian menurut Grab dalam satu kenyataan media bersama NUS pada Jumaat (23 Nov).

Jumlah stesen tersebut akan ditambah secara bertahap-tahap kepada 30 menjelang Disember.

Untuk menggunakan khidmat itu, para pengguna boleh pergi ke salah satu stesen tersebut dan membuka kunci e-skuter menerusi aplikasi GrabWheels sebelum menggunakannya.

Bagi setiap 30 minit ia digunakan, para pengguna akan dikenakan bayaran sebanyak S$0.20 sepanjang tempoh percubaan.

Untuk mengakhiri perjalanan, pengguna e-skuter tersebut mesti mengunci e-skuter itu dengan mengimbas kod QR yang khusus di salah sebuah stesen letak e-skuter.

SYARAT-SYARAT KESELAMATAN

Semua perjalanan dilindungi insurans menurut Grab dan NUS dalam kenyataan itu.

E-skuter yang disediakan juga menepati piawai undang-undang - seperti mempunyai berat maksimum 20 kilogram, ukuran lebar maksimum 70 sentimeter dan kelajuan maksimum 25 kilometer sejam - seperti ditetapkan oleh Akta Mobiliti Aktif dan piawaian keselamatan kebakaran UL2272.

Grab juga akan menggalak para pengguna untuk menggunakannya dengan selamat menurusi pesanan dalam aplikasi.

"Sebuah kumpulan sokongan ditugaskan 24-jam untuk membantu para pengguna apabila mereka menghadapi sebarang masalah semasa tempoh percubaan itu," menurutnya.

Sepanjang tempoh ujian itu, Grab dan NUS berharap "untuk memperolehi maklum balas tentang bagaimana e-skuter boleh membantu menangani keperluan pengangkutan di kampus" dengan mengkaji pola pengguna.

- CNA/NA/na

Top