Images
  • grab (3)
    (Gambar: today)

Grab mungkin naikkan tambang selepas Fasa 3, kata penganalisis

SINGAPURA: Syarikat kereta sewa Grab kini bebas untuk menyesuaikan tambangnya selepas sekatan-sekatan anti-persaingan ditarik balik pada Jumaat (20 Nov). Namun, para penganalisis pengangkutan memberitahu Mediacorp bahawa ia tidak mungkin akan menaikkan tambang selagi permintaan terus terjejas oleh pandemik COVID-19.

Para penganalisis bagaimanapun lebih yakin Grab mungkin akan memilih untuk berbuat demikian apabila kegiatan sosial bertambah rancak setelah Singapura melangkah ke Fasa 3 pembukaan semula ekonomi Singapura selepas 'circuit breaker' atau langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 dikuatkuasakan awal tahun ini.

Grab juga mungkin akan berbuat demikian dengan membuat perubahan pada algoritma harga lonjakan yang dibekukan dalam bentuk sebelum Grab bergabung dengan Uber pada 2018, menurut pengamatan para penganalisis.

Menyentuh tentang tindakan Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) untuk menarik balik sekatan ke atas Grab, para pakar bersetuju bahawa dengan perubahan tersebut, sekarang ada persaingan yang mencukupi dengan kemasukan Gojek.

Mereka juga percaya bahawa pengawas persaingan itu akan terus memantau Grab dan bersedia untuk mengambil tindakan sekiranya timbul tingkah laku anti-persaingan.

Kerangka kawal selia baru pemerintah bagi sektor pengangkutan sewa yapenyedia khidmat teksi dan kereta sewa privet, yang diperkenalkan pada 30 Okt, akan memastikan tambang kereta sewa telus dan disampaikan dengan jelas kepada penumpang. 

Pada Jumaat, CCCS mengumumkan bahawa berkuat kuasa serta-merta, ia akan menarik balik sekatan yang dikenakan enam bulan selepas Grab bergabung dengan Uber pada 2018, dengan Grab memegang 80 peratus bahagian pasaran.

Menyusuli keputusan itu, Grab menyatakan ia akan bersikap "berhemat" berhubung struktur dan dasar harganya.

Buat masa ini, satu-satunya perubahan pada tambangnya adalah mengenakan "yuran platform" 30 peratus bagi khidmat kereta sewanya. Ini akan dilaksanakan dalam masa beberapa bulan akan datang, menurut syarikat itu.

Grab juga menyatakan bahawa ia komited untuk mengekalkan struktur dan dasar harga yang diamalkan sekarang selama sekurang-kurangnya enam bulan akan datang setelah mengambil kira keadaan semasa COVID-19.

Profesor Madya Lawrence Loh, Pengarah Pusat Bagi Tadbir Urus Institusi dan Pertubuhan di Sekolah Perniagaan Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata pada Jumaat bahawa langkah itu membayangkan "pembaharuan" pada strategi penetapan harga bagi industri kereta sewa, memandangkan Grab yang kini adalah pemain terbesar, boleh mengambil bahagian dalam "persaingan terbuka".

"Grab sebelum ini tertakluk di bawah algoritma sebelumnya. Sekarang, sebagai pemain utama, Grab boleh menjadi lebih responsif terhadap strategi Gojek. Kita hanya perlu melihat perkembangannya," kata beliau.

Dan ia akan menarik perhatian, kata beliau, kerana Grab masih bertindak sebagai "penentu harga" dalam industri itu. "Apa sahaja perubahan pada algoritmanya, pemain besar itu akan menerajui industri tersebut."

Bagaimanapun, kesannya tidak akan dapat dirasakan dalam masa terdekat ini, tambah Prof Madya Loh, sambil menambah bahawa "pasaran sekarang bukanlah pasaran yang sebenar" memandangkan ramai pekerja masih bekerja dari rumah dan kegiatan sosial masih dihadkan.

Antara dapatan CCCS pada 2018 adalah tambang Grab dinaikkan antara 10 hingga 15 peratus selepas ia bergabung dengan Uber, iaitu pesaing terdekatnya.

Mengenai sama ada tahap tersebut akan kembali, Prof Madya Loh berkata ia tidak mungkin berlaku, sambil menukil kajian yang dijalankannya tahun lalu, yang mendapati para penumpang kereta sewa di sini secara purata membayar tambang 11 peratus lebih rendah dengan kemasukan pemain seperti Gojek.

"Pada masa akan datang, Grab tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan tambang," kata beliau.

Profesor Madya Terence Fan, seorang pakar pengangkutan di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata beliau yakin CCCS akan terus memantau tingkah laku Grab menjangkaui tempoh enam bulan akan datang dan mengambil tindakan sekiranya ada bukti yang menunjukkan ia terlibat dalam amalan-amalan anti-persaingan. 

- today/AY/ay

Top