Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Golongan muda sokong dasar tegas antidadah; kurang sokong hukum mati pengedar dadah: Tinjauan MHA

Sebilangan besar warga lebih muda Singapura menyokong langkah-langkah antidadah yang ketat di negara ini. Bagaimanapun, sokongan mereka terhadap hukuman mati ke atas pengedar dadah adalah lebih rendah berbanding purata nasional, menurut tinjauan MHA.

Anggaran Waktu Membaca:
Golongan muda sokong dasar tegas antidadah; kurang sokong hukum mati pengedar dadah: Tinjauan MHA

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 17 May 2019 04:05PM Dikemas Kini : 17 May 2019 04:13PM

SINGAPURA: Sebilangan besar warga lebih muda Singapura menyokong langkah-langkah antidadah yang ketat di negara ini. Bagaimanapun, sokongan mereka terhadap hukuman mati ke atas pengedar dadah adalah lebih rendah berbanding purata nasional. Demikian menurut dapatan satu tinjauan yang dijalankan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

Tinjauan tersebut menunjukkan 52.7 peratus daripada mereka dalam lingkungan usia 13 hingga 30 tahun menyatakan hukuman mati adalah wajar bagi penjenayah yang mengedar jumlah dadah yang besar. Ini lebih rendah berbanding 69.6 peratus keseluruhan penduduk negara yang menyokong hukuman tersebut dilaksanakan.

Sebagai perbandingan, 74.6 peratus daripada peserta berusia lebih 30 tahun yang ditinjau menunjukkan sentimen serupa.

Mereka dalam kumpulan lingkungan usia 13 hingga 30 tahun juga menunjukkan sokongan yang kuat bagi pemenjaraan (89.9 peratus) dan sebatan rotan (77.5 peratus) ke atas pengedar dadah - berbanding 93 peratus dan 80.1 peratus, masing-masing, bagi penduduk am.

Sungguhpun begitu, secara amnya, kebanyakan warga Singapura mempunyai sentimen positif terhadap keadaan dan undang-undang dadah negara.

Tinjauan tersebut menunjukkan 80.5 peratus setuju atau sangat setuju bahawa keadaan dadah di sini terkawal. Sementara itu, 89 peratus penduduk menyatakan yang sama apabila ditanya jika undang-undang Singapura berhubung dadah adalah berkesan dalam membantu membentuk sebuah negara yang bebas dadah.

Ini adalah kali pertama tinjauan sedemikian dijalankan oleh MHA untuk mengkaji tanggapan penduduk Singapura tentang keadaan dadah di negara ini serta sokongan mereka terhadap dasar-dasar antidadah. Ia melakukan tinjauan ke atas 2,000 rakyat Singapura serta penduduk tetap berusia 13 tahun dan ke atas, dengan sesi temu bual langsung dilakukan antara Julai dengan Oktober tahun lalu.

MHA menambah, saiz sampel yang ditinjau mewakili penduduk Singapura dari segi umur, kaum, jantina dan status kerakyatan.

GANJA JADI PERHATIAN

Tinjauan tersebut juga mengumpulkan sentimen terhadap ganja, di tengah-tengah landskap di mana kian banyak negara membenarkan penggunaan ganja. Thailand, misalnya, melakukan demikian pada Disember tahun lalu sekaligus menjadi negara Asia Tenggara yang pertama untuk berbuat demikian.

Tinjauan itu mendapati kebanyakan warga Singapura setuju atau sangat setuju bahawa menyebabkan ketagihan (82.4 peratus), membahayakan kesihatan seseorang (80.2 peratus) dan mempunyai kesan negatif terhadap masyarakat (83.2 peratus).

Selain itu, 87.1 peratus peserta berkata mereka setuju atau sangat setuju bahawa penyalahgunaan ganja harus kekal haram di sisi undang-undang Singapura. Bagaimanapun, mereka yang berusia antara 13 hingga 30 tahun menunjukkan sokongan lebih rendah (79.9 peratus) berbanding golongan lebih berusia (89.2 peratus).

Menurut MHA, ini menunjukkan responden yang lebih muda pada umumnya memegang pandangan lebih terbuka terhadap dadah, khususnya, ganja.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) Februari lalu, terdapat 1,366 pesalah guna dadah baru yang diberkas pada 2018 dan dari jumlah itu, 64 peratus daripada mereka berusia di bawah 30 tahun.

Menurut perangkaan CNB, pengguna methamphetamine membentuk kebanyakan daripada 1,021 penyalah guna dadah baru yang ditangkap, diikuti pula dengan ganja seramai 172 pesalah dan bahan psikoaktif baru (NPS) iaitu seramai 110 pesalah.

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam menekankan lagi dalam kenyataan medianya pada Jumaat (17 Mei) bahawa sokongan setempat yang kuat terhadap pendekatan sifar toleransi Singapura sudah membantu negara dalam mencapai keadaan sekarang. Beliau menambah ia mesti diteruskan dengan undang-undang dan penguatkuasaan yang ketat selain usaha untuk mendidik masyarakat.  

Sumber : CNA/FZ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan