Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Golongan kurang mampu bakal dapat lebih sokongan untuk amalkan gaya hidup sihat

Golongan kurang berkemampuan bakal menerima lebih banyak sokongan untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Dec 2018 06:43PM Dikemas Kini : 16 Dec 2018 08:52PM

SINGAPURA: Golongan kurang berkemampuan bakal menerima lebih banyak sokongan untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

Golongan tersebut dikenal pasti sebagai tumpuan utama dalam misi Jawatankuasa SihatSG untuk memastikan tahap kesihatan setiap rakyat Singapura dapat diperbaiki.

Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Amrin Amin, yang memimpin Jawatankuasa SihatSG, berkata usaha menggalak gaya hidup sihat yang sedia ada disasarkan kepada masyarakat umum.

Kini, Encik Amrin mahu jawatankuasa itu mengalihkan tumpuannya kepada golongan yang amat memerlukan.

"Kita akan memberi tumpuan yang lebih khas dalam cara kita mendekati, memberitahu mereka yang kurang kemampuan tentang adanya prasarana, adanya inisiatif-inisiatif yang boleh menggalakkan kita hidup dengan lebih sihat," menurut Encik Amrin Amin.

Jawatankuasa SihatSG, yang mengadakan mesyuarat pertama mereka pada bulan lalu, akan meninjau cara bagaimana untuk mengolah lebih baik mesej gaya hidup sihat serta program-programnya agar dapat menjangkau golongan kurang bernasib baik.

Salah satu cara adalah dengan menggalak para penderma membiayai pek barangan lebih sihat bagi penerima bantuan makanan.

Menurut Bank Makanan keadaan itu sudah pun berlaku sekarang ini dengan penderma menyumbang makanan lebih sihat.

Bagaimanapun, para penerima lazimnya elak daripada meminta makanan lebih sihat kerana merasakan ia tidak sedap, mahal dan perlu disimpan dengan betul.

Maka itu, pendidikan tentang pemakanan lebih sihat adalah penting.

Bagi masyarakat am pula, jawatankuasa tersebut mahu memanfaatkan teknologi untuk mencapai matlamat kesihatan dan kecergasan.

Agenda gaya hidup sihat lain termasuk mengurangkan kadar merokok dan mempertingkatkan prasarana seperti laluan rangkaian penghubung taman serta ruang-ruang senaman.

Jawatankuasa SihatSG akan mengadakan rundingan awam dari Januari hingga Mei tahun depan untuk mendapatkan pandangan orang ramai tentang cara membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan warga Singapura.

Sumber : CNA/FZ/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan