Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Golongan bujang boleh mohon flat sewa tanpa terlebih dahulu dapatkan teman satu flat

Langkah ini diambil sebagai sebahagian daripada usaha pihak berkuasa untuk menyokong keluarga-keluarga berpendapatan rendah di flat-flat sewa, di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Golongan bujang boleh mohon flat sewa tanpa terlebih dahulu dapatkan teman satu flat

Gambar fail sebuah blok flat rumah sewa.

Diterbitkan : 04 Mar 2021 09:43PM Dikemas Kini : 04 Mar 2021 09:45PM

SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan merintis model perumahan baru bagi membolehkan golongan bujang untuk membuat permohonan bagi menyewa flat awam tanpa perlu mendapatkan teman satu flat terlebih dahulu.

Demikian menurut Menteri Negara Pembangunan Negara Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim hari ini (4 Mac).

Langkah ini diambil sebagai sebahagian daripada usaha pihak berkuasa untuk menyokong keluarga-keluarga berpendapatan rendah di flat-flat sewa, di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Model yang akan dirintis itu adalah model "alternatif" bagi Skim Berkongsi Flat untuk Orang Bujang (JSS), yang membolehkan penyewa tunggal berpasangan bagi mendapatkan flat sewa.

Dr Faishal berkata kebanyakan penyewa bujang sudah bersedia untuk berkongsi unit dengan seorang lagi penyewa dan aturan ini "membolehkan mereka mempunyai teman dan mendapatkan sokongan", yang lebih penting bagi para penyewa yang lebih tua.

"Ia juga membolehkan kita membantu seramai mungkin mereka yang memerlukan sebuah flat sewa awam dalam kalangan sumber kita yang terhad," kata beliau.

Di bawah skim sedia ada, penyewa bujang digalakkan untuk membuat permohonan bersama seseorang yang mereka kenali, seperti saudara atau rakan atau mereka juga boleh menghubungi HDB untuk mendapatkan teman satu flat.

HDB menyatakan dalam kenyataan medianya hari ini, meskipun "sebahagian besar" penyewa di bawah JSS berupaya mendapatkan teman satu flat sendiri dan tinggal bersama dengan aman, ada juga yang tidak dapat berbuat sedemikian.

Oleh itu, untuk memberikan orang-orang bujang satu lagi pilihan, model alternatif itu akan dirintis lewat tahun ini.

HDB akan menyediakan beberapa tingkat di sebilangan flat sewa dan melantik agensi-agensi khidmat sosial untuk menguruskan flat, termasuk aturan perkongsian flat, menurut Dr Faishal.

Contohnya, agensi-agensi khidmat sosial termasuk New Hope Community Services atau Thye Hua Kwan Moral Society.

"Agensi-agensi khidmat sosial mempunyai kepakaran lebih baik untuk memadankan orang bujang yang sama profilnya dan untuk menjadi orang tengah bagi sebarang pertikaian yang mungkin timbul.

"Jika perlu, mereka juga boleh membuat aturan bagi individu-individu untuk berpindah ke flat lain," kata Dr Faishal.

Beliau menambah bahawa harga sewa di bawah model baru itu sebahagian besarnya sama dengan yang di bawah JSS dan para penyewa tertakluk kepada syarat kelayakan yang sama.

Beliau menambah HDB akan berkongsi lebih banyak maklumat kelak.

SOKONGAN BAGI KELUARGA BESAR

Di bawah proses-proses sedia ada, keluarga-keluarga dengan tiga atau lebih ramai anggota yang tinggal di flat satu bilik boleh memohon untuk berpindah ke unit dua bilik.

Keluarga-keluarga yang membentuk dua generasi - seperti keluarga yang mempunyai anak-anak, ibu bapa dan datuk dan nenek yang tinggal bersama - boleh memohon bagi sebuah flat yang lain dan HDB akan menawarkan flat kedua di blok yang sama jika boleh, kata Dr Faishal.

Untuk memberikan sokongan lebih baik kepada keluarga-keluarga lebih besar, HDB akan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) di bawah Community Link(ComLink) untuk menawarkan flat-flat sewa tiga bilik kepada keluarga-keluarga ini berdasarkan kes masing-masing.

"Buat masa ini, kami mempunyai bekalan terhad bagi flat sedemikian jadi kami hanya boleh menawarkan flat-flat kepada sejumlah kecil keluarga berdasarkan keadaan keluarga itu," kata Dr Faishal.

"Pada masa yang sama, semua keluarga dengan anak-anak yang tinggal di flat-flat sewa awam akan menerima sokongan menyeluruh di bawah ComLink untuk membolehkan mereka mencapai kestabilan, bergantung kepada diri sendiri dan mobiliti sosial," tambah beliau.

PERANCANGAN BAGI TAPAK RINTIS KEDUA APARTMEN JAGAAN MASYARAKAT

Dalam ucapannya, Dr Faishal juga menggariskan langkah-langkah sokongan lain bagi keluarga-keluarga di flat sewa. Ini termasuk meningkatkan usaha pendampingan untuk menghulurkan bantuan dan panduan bagi mendapatkan rumah sendiri.

Beliau juga menyentuh tentang Apartmen Jagaan Masyarakat, iaitu tipologi perumahan baru dengan elemen mesra warga emas dan pakej langganan bagi khidmat jagaan.

Penjualannya dilancarkan bulan lalu dan sudah menerima "respons sangat positif", dengan 706 orang membuat permohonan bagi 169 unit.

"Dengan maklum balas positif dan minat yang mendalam, kami sedang meneliti pelan bagi tapak rintis yang kedua. Kami akan memberikan perinciannya apabila siap nanti," kata beliau.

Dr Faishal menambah program-program perintis itu akan membantu menambahkan lagi pilihan perumahan dan khidmat jagaan bagi warga tua.

"Kami akan terus mengalu-alukan maklum balas daripada warga tua serta penjaga mereka dan anggota keluarga," kata beliau.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan