Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Golf amal PERTAPIS kumpul S$520,000, jumlah tertinggi sejak dimulakan

Acara golf amal PERTAPIS "Swing for Hope" berjaya meraih kutipan tertinggi sejak ia dimulakan pada 2009. Sebanyak S$520,000 dikumpulkan bagi program pendidikan kanak-kanak dan belia badan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 Oct 2018 08:06PM Dikemas Kini : 30 Oct 2018 11:51PM

SINGAPURA: Acara golf amal PERTAPIS "Swing for Hope" berjaya meraih kutipan tertinggi sejak ia dimulakan pada 2009.

Sebanyak S$520,000 dikumpulkan bagi program pendidikan kanak-kanak dan belia badan tersebut.

Jumlah itu diserahkan kepada PERTAPIS dalam satu jamuan malam yang berlangsung di Warren Golf & Country Club pada Selasa (30 Okt).

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli membuat pukulan pertama, sebagai pemula acara golf amal di Warren Golf & Country Club.

Tetamu terhormat itu menyertai 144 pemain golf berbilang kaum untuk sama-sama menyumbang kepada usaha mengumpul dana bagi PERTAPIS.

"Kalau pasal untuk amal, saya akan panggil semua kawan saya. Sambil beramal kita main sekali. Kita ada buat 11 'flight', semua dalam kumpulan. Seramai 44 orang hari ini untuk beramal di sini," kongsi Encik Shukor Ahmad, seorang peserta acara itu.

Encik Zainal Samat, seorang konsultan golf pula percaya acara tahun ini berjaya menarik lebih ramai peserta dan mencapai tujuannya demi mengagihkan bantuan kepada golongan memerlukan.

PERTAPIS melancarkan usaha mengumpul dana itu sejak tiga bulan lalu.

50 syarikat dan 30 individu tampil menghulurkan derma menerusi surat rayuan yang diedarkan.

Termasuk jualan tiket acara golf amal dan jamuan malam, S$520,000 berjaya dikumpulkan, jauh melebihi sasaran S$350,000.

Wang tersebut bakal disalurkan kepada program-program pendidikan kelolaan PERTAPIS, seperti 'Kembali ke Sekolah', khusus buat para penghuni Rumah Kanak-Kanak dan Remaja Perempuan serta anak-anak penerima bantuan Tabung Amal Jariah (TAJ).

"Dana yang kita kumpulkan ini khususnya untuk rumah-rumah kebajikan kita selain daripada orang-orang yang kita kendalikan dalam Tabung Amal Jariah kita, iaitu memperkasakan mereka dengan memberi bantuan tuisyen kepada anak-anak mereka dan juga bagaimana kita dapat meningkatkan pembelajaran bagi orang-orang yang menerima dana kita ini," kata presiden PERTAPIS Hussaini Abdullah.

PERTAPIS membantu 450 keluarga kurang berkemampuan di bawah skim TAJ.

Selain memenuhi keperluan seharian mereka, keluarga penerima bantuan juga disokong untuk membangunkan kemahiran diri dengan menghadiri kursus. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan