Images
  • gojek (2)
    (Gambar hiasan: Beawiharta/Reuters)

Go-Jek tawar khidmat kepada semua penumpang S'pura

SINGAPURA: Syarikat khidmat kereta sewa Go-Jek mengumumkan hari ini (10 Jan) bahawa semua khidmatnya kini disediakan bagi semua pelanggannya di merata Singapura, sebagai sebahagian daripada "peningkatan pada versi beta aplikasinya".

Pada 2 Jan, Go-Jek menyediakan khidmatnya kepada kesemua pelanggan DBS/POSB di merata negara, sementara pelancaran pertamanya di Singapura pada 29 Nov merangkumi separuh daripada kawasan Singapura. Ini termasuk Kawasan Pusat Bandar, Jurong East, Changi, Punggol, Ang Mo Kio dan Sentosa.

Para penumpang kali pertama akan menerima dua baucar S$5 setiap satu yang boleh digunakan bagi dua tempahan pertama dalam tempoh dua minggu selepas mereka mendaftarkan diri, tambah syarikat itu.

"FASA BETA DIPERTINGKAT"

"Sepanjang fasa beta dipertingkat ini, Go-Jek berharap untuk memperhalusi aplikasinya dan mempertingkat pengalaman pengguna berdasarkan maklum balas yang dikumpul dari para pemandu dan penumpangnya yang akan menggunakan Go-Jek di merata Singapura."

Berdasarkan maklum balas daripada pada pemandu dan penumpang, Go-Jek menyatakan ia sudah mempertingkatkan sistem tempahan dengan menyediakan laluan perjalanan yang lebih tepat dan pantas.

Peta yang menunjukkan kawasan-kawasan dengan permintaan tinggi turut disertakan untuk membantu para pemandu mengambil lebih banyak tempahan dan melakukan lebih banyak perjalanan.

Berdasarkan permintaan para pemandu untuk berehat, mereka boleh berhenti mengambil tempahan sebelum selesai melakukan satu-satu perjalanan.

Presiden Go-Jek Andre Soelistyo menyatakan ia komited untuk "menawarkan lebih banyak pilihan dalam pasaran Singapura", sambil menambah bahawa ia memastikan "Go-Jek benar-benar memenuhi permintaan Singapura dan kekal dalam pasaran" sepanjang khidmat dibentangkan secara bertahap-tahap.

Kemasukan Go-Jek dalam pasaran Singapura bagi menyaingi Grab yang menguasai pasaran di Singapura selepas mengambil alih Uber pada Mac tahun lalu.  

- CNA/AQ/aq

Top