Images
  • gym
    (Gambar: Gwyneth Teo)

Gimnasium ActiveSG, khas bagi warga senja dibuka di Ang Mo Kio

SINGAPURA: Para penduduk Ang Mo Kio menjadi yang pertama mempunyai gimnasium ActiveSG, khas untuk golongan warga tua dan yang kurang upaya.

Empat lagi gimnasium serupa akan dibuka di estet-estet perumahan lain menjelang hujung tahun ini.

Peralatan gimnasium biasa mungkin tidak sesuai untuk golongan warga emas dan sebaliknya boleh menyebabkan kecederaan.

Maka itu, gimnasium tersebut dilengkapi peralatan yang membolehkan warga tua bersenam dengan selamat.

Ada juga peralatan canggih yang berupaya memantau tekanan darah dan jumlah lemak dalam tubuh.

Ruang gimnasium itu juga luas dan tanpa halangan bagi memudahkan pergerakan kerusi roda.

Sport Singapore yang mereka gimnasium itu bukan saja mahu golongan warga emas lebih cergas, ia juga sedang bekerjasama dengan Pusat Masyarakat Ang Mo Kio dan Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS), dalam satu kajian bersama.

Mereka berharap untuk mengetahui lebih mendalam tentang tabiat sosial dan ikatan antara generasi.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang juga penasihat akar umbi kawasan undi Ang Mo Kio berkata penduduk semakin tua di Singapura dapat memanfaatkan kemudahan gym seperti itu.

"Semakin ramai yang berumur dan jika kita kekal aktif, saya rasa kita boleh hidup lebih sihat, produktif dan tetap menyumbang, menjaga mereka yang lebih muda dalam keluarga kita tetapi juga menyumbang kepada masyarakat dan juga Singapura," menurut PM Lee.

Rakyat tempatan berusia 55 tahun ke atas boleh masuk percuma pada setiap Rabu.

Ia juga dibuka kepada orang ramai pada harga masuk S$2.50.

Gimnasium-gimnasium serupa akan dibuka di Fernvale, Senja-Cashew, Pek Kio, dan Toa Payoh West lewat tahun ini. 

- CNA/AA/na

Top