Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

‘Gift-a-Kurung’ mahu kumpul 800 pakaian Hari Raya untuk 200 keluarga memerlukan

Dua wanita ini bukan hanya teman yang rapat, malah ringan tangan dan punya wawasan yang sama – iaitu menolong golongan memerlukan, terutama sekali ketika menjelangnya Hari Raya.

Anggaran Waktu Membaca:
‘Gift-a-Kurung’ mahu kumpul 800 pakaian Hari Raya untuk 200 keluarga memerlukan

Petikan gambar dari video.

Diterbitkan : 15 Jun 2017 12:35AM Dikemas Kini : 15 Jun 2017 12:46AM

BERITAMediacorp: Dua wanita ini bukan hanya teman yang rapat, malah ringan tangan dan punya wawasan yang sama – iaitu menolong golongan memerlukan, terutama sekali ketika menjelangnya Hari Raya.

Kemudian, terdetik di benak fikiran Cik Maisurah Mokhsin, 25 tahun, dan teman baiknya Cik Dayana Mahiuddin untuk memulakan satu inisiatif baru. Maka tercetuslah ‘Gift-A-Kurung’, pada Jun tahun lalu (2016).

Projek ‘Gift-A-Kurung’ ini memberikan baju tradisional terpakai seperti baju Melayu, kurung, jubah atau persalinan untuk orang-orang dewasa mahupun kanak-kanak, bagi digunakan sempena Hari Raya.

Ketika dimulakan pada tahun lalu, jumlah baju terpakai yang dikumpul agak kecil. Tetapi pada tahun ini, projek ‘Gift-A-Kurung’ berharap dapat mengumpulkan sekurang-kurangnya 800 pakaian, untuk 200 keluarga yang memerlukan atau susah.

“Ramai dari kami mungkin tidak berkesempatan atau berpeluang untuk mempunyai pakaian baru atau yang cantik untuk menyambut Raya. Pada tahun ini, pihak kami mengharapkan untuk mendapatkan 800 pakaian atau lebih, khususnya kami memerlukan pakaian untuk kanak-kanak kecil, remaja dan orang lelaki. Kami menyasarkan untuk memberi 2 pasang baju untuk seorang bagi setiap ahli keluarga,” kata Cik Maisurah, kepada BERITAMediacorp. Beliau seorang tutor dan penulis bebas.

Sekali lagi, projek mengumpulkan pakaian ‘Gift-a-Kurung’ ini akan dijalankan dengan kerjasama Masjid Mujahidin, yang terletak di Stirling Road. Baju-baju tersebut akan diagihkan di masjid tersebut pada 18 Jun ini.

“Inisiatif untuk mengumpulkan pakaian terpakai atau lama, berputik demi untuk mengembalikan semangat memberi dan menolong sesama Muslim, dan pada masa yang sama memberikan keceriakan Syawal pada mereka yang memerlukan,” ujar Cik Maisurah lagi.

Menceritakan pengalamannya pada tahun lalu memberikan pakaian pada mereka yang layak, Cik Maisurah berkata ada pakaian yang masih baru dan baik dan hanya digunakan sekali sahaja. Atau, yang baru dibeli tetapi tidak digunakan langsung.

Pada tahun lalu, mereka kekurangan pakaian untuk kanak-kanak kecil, dan pakaian Melayu untuk kaum lelaki. Ini kerana mungkin golongan ini kurang mendapat perhatian dari penderma. Lantaran itu, beliau berharap orang ramai akan tampil memberikan sokongan yang sewajarnya pada tahun ini.

“Kami berharap pada tahun ini, lebih banyak lagi pakaian yang baik kami terima. Pendermaan atau tajaan dari syarikat setempat juga amat kami alu-alukan. Kami juga berharap untuk mendapatkan tajaan bagi tudung atau shawl dan juga songkok.

Cik Maisurah berkata, walaupun pihaknya menerima pakaian terpakai yang masih baik, namun pakaian yang baru juga mereka alu-alukan dengan tangan terbuka.

“Walaupun pakaian atau busana ini diperuntukkan untuk mereka yang kurang berkemampuan, tetapi projek ‘Gift-A-Kurung’ tetap menitikberatkan mutu dan juga perasaan si penerima itu nanti. Walau apapun, pihak kami juga inginkan yang terbaik untuk mereka,” ujar Cik Maisurah dengan bersungguh-sungguh.

(Gambar: Maisurah Mokhsin)

(Gambar: Maisurah Mokhsin)

Keinginan Cik Maisurah dan Cik Dayana, juga seorang tutor, untuk memberi nampaknya tidak terhad kepada negeri sendiri sahaja.

Pada awal bulan ini (Jun), mereka sudahpun menganjurkan satu lagi projek, iaitu Kuala Lumpur, di mana mereka mengadakan acara iftar dan pemberian pakaian untuk pelarian Islam asal Myanmar yang kini menetap di Malaysia.

Cik Maisurah menyatakan, buat masa ini pihaknya tidak menerima pemberian wang. Pemberian baju sahaja sudah cukup untuk “membuatkan hati kami cukup gembira dan teruja”.

Wanita muda itu berharap inisiatif-inisiatif yang mereka lakukan dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk juga mengorak langkah serupa.

(Gambar: Maisurah Mokhsin)

(Gambar: Maisurah Mokhsin)

“Semoga lebih ramai lagi yang akan tampil memberikan bantuan ataupun berani memulakan inisiatif baru, terutamanya golongan muda kita, kerana mereka adalah harapan bangsa dan bantuan sebegini juga adalah untuk kebaikan ummah bersama,” kongsi Cik Maisurah kepada BeritaMediacorp.

Maklumat dan perincian lanjut untuk projek ‘Gift-A-Kurung’ boleh anda didapati di laman Facebook mereka: www.facebook.com/GiftAKurung

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan