Images

Geran sokongan gaji pekerja industri penerbangan dilanjutkan lagi 6 bulan

SINGAPURA: Pemerintah akan melanjutkan geran untuk mengekalkan tenaga kerja penerbangan bagi tempoh lagi enam bulan untuk membantu syarikat-syarikat dan para pekerja dari industri tersebut, umum Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada Isnin (27 Sep).

Ini bagi membantu "syarikat-syarikat penerbangan mengekalkan keupayaan teras dan meletakkan mereka dalam kedudukan untuk pulih semula," menurut CAAS dalam kenyataan medianya.

Syarikat-syarikat yang layak akan menerima sokongan sebanyak 30 peratus daripada S$4,600 pertama gaji bulanan kasar setiap pekerja tempatan dari Oktober hingga Disember 2021.

Sokongan lagi 10 peratus bagi S$4,600 gaji kasar yang dibayar setiap bulan kepada setiap pekerja tempatan dari Januari hingga Mac 2022 juga akan diberikan.

Geran itu dijangka akan memanfaatkan lebih 100 syarikat dalam sektor penerbangan dan akan menelan belanja sekitar S$130 juta.

"(Geran) itu diperkenalkan dalam Belanjawan 2021 sebagai sebahagian daripada Pakej Bantuan OneAviation bagi menghulurkan sokongan bersasar kepada sektor penerbangan dan melindungi kedudukan Singapura sebagai sebuah hab penerbangan," menurut CAAS.

Selain sokongan gaji, syarikat-syarikat dalam sektor itu juga akan terus menerima sokongan latihan menerusi Pakej Bantuan Latihan Dipertingkat, serta bantuan untuk mengurangkan kos sebagai sebahagian daripada Pakej Bantuan OneAviation.

"Para pekerja juga boleh memanfaatkan geran Program Mempelajari Kemahiran Baru Untuk Pekerjaan OneAviation untuk menjalani latihan bagi meningkatkan kecekapan dan kemahiran serta mempertingkatkan daya penghasilan mereka," tambah CAAS.

COVID-19 "menjejas teruk" perjalanan udara dan selepas 20 bulan, industri penerbangan masih merupakan antara sektor ekonomi yang paling teruk terjejas, menurut CAAS.

Setakat September tahun ini, pergerakan penumpang di Lapangan Terbang Changi hanya 3.6 peratus daripada paras sebelum COVID-19 melanda, menurut pihak berkuasa.  

- CNA/SM/sm

Top