Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Geran S$7 juta bantu pekerja penghantar makanan ganti e-skuter

Pekerja penghantaran makanan yang terjejas akibat larangan menggunakan e-skuter di laluan pejalan kaki boleh mendapatkan geran sehingga S$1,000 untuk menukar alat mobiliti peribadi (PMD) mereka kepada alat peranti lain.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 08 Nov 2019 07:04PM Dikemas Kini : 08 Nov 2019 09:09PM

SINGAPURA: Pekerja penghantaran makanan yang terjejas akibat larangan menggunakan e-skuter di laluan pejalan kaki boleh mendapatkan geran sehingga S$1,000 untuk menukar alat mobiliti peribadi (PMD) mereka kepada alat peranti lain.

Geran Tukar Beli (eTG) e-skuter bernilai S$7 juta itu dibiayai Pemerintah dan tiga syarikat penghantaran makanan utama di sini - Grab, Deliveroo dan Foodpanda.

Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan demikian hari ini (8 Nov).

Di bawah pakej bantuan itu, pengguna e-skuter yang masih ingin bekerja sebagai penghantar makanan boleh menukar peranti mereka kepada basikal, basikal yang menggunakan kuasa (OAB) atau alat bantuan mobiliti peribadi (PMA).

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan memadankan setiap dolar bagi sokongan pendanaan syarikat penghantaran makanan untuk pekerja mereka yang menukar e-skuter kepada alat pengangkutan lain yang diluluskan pihak berkuasa itu.

GERAN TUKAR ALAT PERANTI SEHINGGA S$1,000

Setiap penunggang boleh menerima sehingga S$1,000 untuk menukar e-skuter kepada PAB atau S$600 bagi basikal, tambah MOT. Mereka yang mengalami cabaran pergerakan dan layak menggunakan PMA akan menerima eTG hingga S$1,000.

"Skim eTG akan ditadbir syarikat-syarikat penghantaran makanan, yang juga bekerjasama dengan syarikat runcit untuk membeli secara borong bagi mengurangkan kos alat tersebut," kata MOT.

Untuk layak bagi geran, penunggang harus merupakan pekerja penghantaran makanan yang menggunakan e-skuter sehingga 7 November.

Mereka perlu menyerahkan e-skuter di tempat pembuangan alat di Grab, Deliveroo dan Foodpanda. Ini boleh dilakukan bermula Jumaat depan (15 Nov). Pekerja penghantaran makanan yang bekerja untuk lebih daripada satu syarikat hanya layak bagi satu pengagihan geran eTG.

BANTUAN PEKERJAAN BAGI YANG MAHU TUKAR KERJAYA

Selain skim tukar ganti itu, tiga syarikat penghantaran makanan itu juga bekerjasama dengan e2i dan agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) untuk menyediakan khidmat kerjaya dan sokongan pencarian pekerjaan bagi pekerja penghantaran makanan yang mahu menukar pekerjaan.

Bagi pekerja yang menghadapi cabaran kewangan pula, mereka boleh mendapatkan khidmat sosial atau bantuan kewangan sementara di bawah skim Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan ComCare. Pengguna e-skuter, terutama mereka yang menggunakannya untuk pekerjaan penghantaran makanan, telah meluahkan kebimbangan bahawa larangan yang dikuatkuasakan Selasa lalu (5 Nov), akan menjejas mata pencarian mereka. Larangan itu ekoran beberapa kemalangan berlaku dikaitkan dengan skuter berkenaan.

"Keputusan melarang e-skuter di laluan pejalan kaki sesuatu yang sukar dibuat dan timbul akibat banyak kejadian yang tidak bertanggungjawab," kata MOT.

"Meskipun setelah tukar ke alat pengangkutan lain, mereka harus mengamalkan keselamatan bukan sahajabuat diri mereka tetapi juga pengguna jalan raya yang lain."  

Sumber : CNA/IM/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan