Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Geran perumahan baru akan rancakkan pasaran jualan semula HDB, kata pengamat

Geran Perumahan CPF yang Dipertingkatkan yang diumumkan pada Selasa (10 Sep) akan merancakkan pasaran flat jualan semula HDB yang mendatar, kata para pengamat hartanah. 

Anggaran Waktu Membaca:
Geran perumahan baru akan rancakkan pasaran jualan semula HDB, kata pengamat

Blok HDB di Singapura. (Gambar fail: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 11 Sep 2019 05:43PM Dikemas Kini : 11 Sep 2019 06:37PM

SINGAPURA: Geran Perumahan CPF yang Dipertingkatkan yang diumumkan pada Selasa (10 Sep) akan merancakkan pasaran flat jualan semula HDB yang mendatar, kata para pengamat hartanah.

Mereka menarik perhatian bahawa pasaran flat jualan semula sudah mendapat rangsangan pada Mei dengan perubahan-perubahan terhadap penggunaan CPF dan pinjaman perumahan awam - dan langkah terbaru ini besar kemungkinan akan merangsang lagi permintaan.

Beberapa penganalisis yang diwawancara oleh Mediacorp pada Selasa juga bersetuju dengan langkah yang diambil pihak pemerintah untuk memastikan flat jualan semula menjadi lebih dimampui bagi para pembeli kali pertama, yang tidak ingin menunggu terlalu lama untuk mendapatkan flat Bina-Ikut-Tempahan (BTO).

Geran baru itu, yang memperkemas dua geran sedia ada dan mempunyai had pendapatan lebih tinggi, didedahkan oleh Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong pada Selasa.

Geran itu akan menghapuskan sekatan terhadap jenis dan tempat flat-flat yang dibeli.

Encik Wong berkata bahawa meskipun pihak berkuasa perlu memastikan bekalan flat baru yang mencukupi, "adalah mustahil untuk memenuhi permintaan flat yang meningkat itu hanya dengan flat-flat baru". Ini kerana di beberapa tempat, terutamanya di estet-estet matang, bekalan tanah tidak mencukupi untuk membina begitu banyak unit baru, jelasnya.

Encik Wong berkata tahun lalu, 25 peratus keluarga yang merupakan pembeli rumah kali pertama membeli flat jualan semula, manakala 75 peratus membeli unit-unit baru. Beliau menekankan bahawa kadar pembeli unit baru "sudah pun jauh lebih tinggi" berbanding sedekad lalu apabila kadarnya 55 peratus.

Encik Wong juga mengumumkan bahawa had pendapatan bagi pasangan dan golongan bujang untuk pelbagai skim HDB serta kondominum eksekutif juga sudah dinaikkan. Bulan lalu, beliau berkata bahawa penjualan HDB pada Ogos akan ditangguhkan sehingga September untuk memberi laluan kepada "perubahan-perubahan akan datang".

PERMINTAAN FLAT JUALAN SEMULA DI ESTET MATANG 'DIJANGKA MENINGKAT'

Para pakar hartanah memberitahu Mediacorp bahawa mereka percaya geran baru itu akan meningkatkan permintaan bagi flat-flat jualan semula, terutamanya di estet-estet perumahan matang.

Cik Christine Ong, ketua kajian dan runding cara di OrangeTee and Tie berkata, pasangan-pasangan muda mungkin menimbangkan untuk membeli sebuah flat jualan semula berbanding unit BTO atas sebab masa dan pilihan lokasi yang terhad.

Akur dengan pendapatnya, ketua pegawai eksekutif PropNex, Encik Ismail Gafoor berkata, beliau menjangkakan bahawa para pembeli kali pertama akan lebih mempertimbangkan flat-flat jualan semula di estet-estet matang terutama jika mereka mampu membelinya.

Encik Ismail menambah, beliau percaya menjelang hujung tahun depan, kadar flat jualan semula yang dibeli oleh keluarga golongan pembeli kali pertama, akan meningkat 10 peratusan mata dari 25 peratus pada 2018 kepada 35 peratus.

GERAN AKAN 'MEMBANTU PASARAN KONDOMINIUM EKSEKUTIF'

Sesetengah pengamat juga mengalu-alukan langkah itu kerana geran tersebut mungkin membantu meningkatkan permintaan bagi kondominium eksekutif (EC) sedang lebih ramai warga Singapura kini layak di bawah had pendapatan keluarga baru, yang meningkat dari S$14,000 sebulan kepada S$16,000.

Buat masa ini dua projek EC ditawarkan untuk penjualan - Rivercove Residences di Anchorvale Lane dan Piermont Grand di Sumang Walk. 

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan