Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Geran lebih tinggi dorong ramai pasangan muda pertimbang flat jualan semula

Adakah pengenalan Geran Perumahan Dipertingkat (EHG) akan membuatkan terlalu ramai orang memohon bagi flat-flat Bina-Ikut-Tempahan (BTO), sehingga menyebabkan masa menunggu lebih lama?

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Adakah pengenalan Geran Perumahan Dipertingkat (EHG) akan membuatkan terlalu ramai orang memohon bagi flat-flat Bina-Ikut-Tempahan (BTO), sehingga menyebabkan masa menunggu lebih lama?

Ini memandangkan EHG lebih 'murah hati' dan sangat menguntungkan pembeli kali pertama khususnya.

Menjawab keprihatinan sedemikian, Menteri Negara Pembangunan Negara Zaqy Mohamad memberi jaminan berikut.

"Kita akan cuba mencapai keseimbangan yang baik di antara flat baru dengan flat jualan semula. Tapi kita juga, dengan geran-geran perumahan yang dipertingkatkan, saya rasa lebih ramai pasangan muda yang ingin membeli flat-flat BTO. Untuk memenuhi tambahan ini, pemerintah harus juga meningkatkan lagi bekalan flat BTO," ujar Encik Zaqy.

"Setiap tahun kami membina sekitar 15,000 unit (dan begitu juga) untuk tahun ini. Mungkin lebih pada tahun depan tapi kita akan lihat keseimbangan permintaan antara flat baru dengan flat jualan semula."

Encik Zaqy menjelaskan demikian dalam wawancara di stesen radio Warna 94.2FM pagi tadi (17 Sep).

Rancangan itu bertujuan menjelaskan pelbagai perubahan tentang dasar perumahan yang diumumkan pemerintah baru-baru ini.

Ini termasuklah geran sehingga S$80,000 yang boleh diperolehi sama ada bagi pembeli flat baru atau flat jual semula.

Pilihan perumahan kini juga lebih luas buat pasangan muda selain memastikan harga flat-flat HDB kekal dimampui warga Singapura, terutama pembeli kali pertama.

Encik Zaqy berkata, sambutan kepada perubahan-perubahan tersebut "agak memberangsangkan" sejauh ini khususnya daripada pasangan muda.

Malah, ejen-ejen hartanah juga melaporkan maklum balas menggalakkan.

"Saya juga telah mendengar daripada para ejen hartanah di mana juga mereka menerima lebih banyak pertanyaan mengenai flat-flat jualan semula oleh kerana geran yang lebih tinggi. Jadi lebih ramai pasangan muda pertimbangkan flat jualan semula pada hari ini."

Ada ejen hartanah, kata Encik Zaqy, sudah menerima sehingga 12 pertanyaan sehari berbanding 1 atau 2 sahaja sebelum ini.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan