Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Geran Bantuan Bayi legakan pasangan muda ini jelang kelahiran anak ke-2

Baru-baru ini pemerintah mengumumkan Geran Bantuan Bayi bernilai S$3,000 demi membantu pasangan yang melahirkan antara 1 Oktober 2020 hingga 30 September 2022.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Baru-baru ini pemerintah mengumumkan Geran Bantuan Bayi bernilai S$3,000 demi membantu pasangan yang melahirkan antara 1 Oktober 2020 hingga 30 September 2022.

Geran itu kemudian diperluas untuk meliputi juga bayi yang lahir pada atau sebelum anggaran tarikh bersalin 1 Oktober 2020. Bermakna, lebih ramai lagi ibu bapa bakal mendapat bantuan pemerintah itu.

Langkah itu, yang bertujuan meringankan kebimbangan kewangan di kalangan pasangan ibu bapa membesarkan anak dalam tempoh COVID-19, cukup dialu-alukan pasangan suami isteri Cik Alzeenelly Asmarsha, 30 tahun dan Encik Hairulnazri Ibnurrizza Anuwar, 32 tahun.

Mereka adalah di kalangan golongan yang layak menerima bantuan kewangan tersebut kerana akan menyambut kelahiran anak kedua pada Mac tahun depan.

Pemerintah sebelum ini juga menyatakan, dengan bantuan itu pasangan-pasangan diharap tidak menangguhkan untuk mempunyai anak semasa tempoh kemelesetan sekarang. Ia akan diagihkan mulai April 2021.

CABARAN BESARKAN 2 ANAK KECIL

Memang, seperti ramai pasangan lain, Cik Alzeenelly dan Encik Hairulnazri sangat ghairah menantikan kelahiran anak kedua mereka itu.

Mereka sebenarnya baru mendapat anak sulung lelaki pada 2019 bernama Aariz, yang kini berusia 17 bulan.

Namun di sebalik kegembiraan itu, pasangan yang menetap di Punggol ini juga prihatin tentang kos tambahan yang perlu mereka tanggung.

"Kami akan ikut cara yang digunakan untuk anak pertama kami. Setiap bulan biasanya kami perlu sediakan keperluannya seperti susu, lampin, sekurang-kurangnya S$300 sebulan. Dan anak kami ini dilahirkan pramatang. Jadi dia perlukan banyak pemeriksaan. Jadi setiap bulan kita kena pergi pemeriksaannya," kata Encik Hairulnazri.

"Pekerjaan kami Alhamdulillah masih ada cuma gaji saya terutama sekali ada juga dipotong sedikit. Jadi dalam perbelanjaan, pemeriksaan dan juga harian agak terjejas," tambah Cik Alzeenelly pula yang sedang hamil empat bulan.

Pendapatan pasangan ini terjejas apabila Cik Alzeenelly yang bertugas sebagai Eksekutif Tempahan di sebuah hotel tempatan terpaksa mengambil cuti tanpa gaji manakala Encik Hairulnazri yang bekerja sebagai pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pula tidak lagi dapat bekerja lembur (overtime).

KORBANKAN MAKAN LUAR DEMI BERJIMAT CERMAT

Lantaran itulah Encik Hairulnazri dan isterinya kini mengamalkan sifat berjimat cermat dalam kehidupan seharian mereka.

Mentelah lagi kos perbelanjaan mereka dijangka naik seganda apabila bersalin nanti.

(Gambar: BERITAmediacorp/Syawal Yusoff)

(Gambar: Syawal Yusoff/BERITAmediacorp)

Antara 'pengorbanan' yang mereka lakukan termasuklah tidak makan di luar, dan lebih masak sendiri di rumah, serta membawa bekal makanan ke tempat kerja.

"Kami juga agak risau sebab kami tidak tahu apa akan terjadi di masa akan datang. Dalam ekonomi dan juga pandemik yang boleh dikatakan makin teruk di seluruh dunia. Jadi kami tak tahu sama ada pekerjaan kami masih lagi akan, kami masih ada pekerjaan kami atau tidak," Cik Alzeenelly berkongsi keprihatinannya.

GERAN BANTUAN BAYI JADI PENYELAMAT

Lantaran itulah, kemunculan Geran Bantuan Bayi sebanyak S$3,000 itu ibarat bulan jatuh ke riba bagi mereka.

Menurut Cik Alzeenelly dan Encik Hairulnazri, bantuan itu pasti meringankan kos keperluan bagi dua anaknya nanti.
"Tentu sekali ia akan digunakan untuk perbelanjaan harian untuk anak kami, keperluan bulanan seperti susu, lampin, pakaian yang akan dibeli untuk anak yang akan dilahirkan nanti.

"Kami juga akan simpan sedikit untuk simpanan anak kami yang pertama dan juga yang kedua Insya Allah," kata Cik Alzeenelly.

Untuk anak pertama mereka, pasangan itu sudahpun menerima Bonus Bayi sebanyak S$7,000 sejauh ini dan sedang menanti bantuan S$1,000 lagi dari pemerintah.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan