Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Geran Bantuan Bayi diperluas untuk bayi lahir pada atau sebelum anggaran tarikh bersalin 1 Okt

Geran sekali saja bernilai S$3,000 akan diperluaskan untuk merangkumi ibu bapa yang bayi mereka dilahirkan sebelum Oktober tetapi dengan tarikh bersalin yang dianggarkan pada atau selepas 1 Okt. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Oct 2020 04:46PM Dikemas Kini : 15 Oct 2020 09:03PM

SINGAPURA: Geran sekali saja bernilai S$3,000 - pada asalnya ditawarkan kepada ibu bapa yang bayi mereka dilahirkan antara 1 Okt tahun ini hingga 30 Sep 2022 - akan diperluaskan untuk merangkumi ibu bapa yang bayi mereka dilahirkan sebelum Oktober tetapi dengan tarikh bersalin yang dianggarkan pada atau selepas 1 Okt.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah mengumumkan demikian di Parlimen pada Khamis (15 Okt). Beliau berkata pihak berkuasa memutuskan untuk menyetujui rayuan daripada sekumpulan ibu bapa khusus ini setelah menerima "maklum balas, rayuan bahkan petisyen" untuk mengubah tarikh permulaan 1 Oktober dan menjadikannya lebih awal selepas memperkenalkan Geran Bantuan Bayi.

Geran itu bertujuan untuk menyediakan sokongan tambahan bagi membantu pasangan "menanggung kos membesarkan anak sewaktu masa luar biasa ini", jelas Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) ketika mengumumkan inisiatif tersebut minggu lalu.

Menukil satu tinjauan yang dijalankan oleh NPTD dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada Jun, Cik Indranee menarik perhatian tiga daripada 10 pasangan rakyat Singapura yang ditinjau berkata mereka merancang untuk menangguhkan menimang cahaya mata disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Data awal menunjukkan bahawa jumlah bayi rakyat Singapura yang dilahirkan antara Januari hingga Ogos tahun ini adalah 200 lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun lalu, menurut beliau.

Cik Indranee bagaimanapun menarik perhatian bahawa "kemerosotan kecil" pada bilangan kelahiran itu mungkin bukan disebabkan oleh pandemik tersebut kerana para bakal ibu hamil sebelum sebarang kes COVID-19 muncul di Singapura.

Geran Bantuan Bayi ditubuhkan untuk menokok Hadiah Tunai Bonus Bayi sedia ada selain memberi sokongan tambahan kepada ibu bapa yang ingin menimang anak agar mereka tidak perlu menangguhkan rancangan mereka, jelas Cik Indranee, yang juga Menteri Kedua Kewangan dan Pembangunan Negara.

Beberapa tarikh permulaan dipertimbangkan apabila skim itu dilakarkan termasuk 1 Jan tahun depan sebagai sebahagian daripada belanjawan bagi 2021, kata beliau.

"Namun, kami rasa penting untuk menghulurkan sokongan itu secepat mungkin bagi membantu lebih ramai rakyat Singapura dengan aspirasi untuk membina keluarga. Mengumumkan rancangan tahun depan boleh bermakna bahawa ibu bapa mungkin menangguhkan percubaan untuk mempunyai anak," ujarnya.

"Walaupun keadaan fiskal Pemerintah sangat ketat, disebabkan oleh bantuan yang dihulurkan kepada warga Singapura dan perniagaan sepanjang tahun, kami dapat memperuntukkan sejumlah belanjawan tahun ini untuk memberikan lebih banyak sokongan kepada lebih ramai ibu bapa rakyat Singapura bermula secepat mungkin," tambah Cik Indranee.

Maka itu, katanya lagi, keputusan dibuat untuk menjadikan geran itu berkuat kuasa Oktober - bulan ia diumumkan.

Cik Indranee menarik perhatian kepada sokongan Pemerintah yang sudahpun disediakan buat ibu bapa kepada kanak-kanak yang dilahirkan sebelum 1 Okt tahun ini dengan ibu bapa boleh menerima wang tunai dan "bantuan berbentuk seperti tunai" antara S$18,000 untuk anak pertama dan S$32,000 bagi anak kelima dan seterusnya meskipun tanpa Geran Bantuan Bayi.

Subsidi bagi jagaan bayi dan kanak-kanak juga sudahpun dipertingkatkan dengan keluarga kini boleh menerima sehingga S$1,300 bagi subsidi jagaan bayi atau sehingga S$767 bagi subsidi jagaan kanak-kanak setiap bulan, tekan beliau.

Pemerintah akan "terus mengkaji semula dan mempertingkatkan langkah-langkah kukuh sedia ada untuk membantu warga Singapura membina dan mengembangkan keluarga mereka," tambah beliau.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan