Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gerakan kumpul maklum balas bangunkan Jalur Budaya Geylang Serai selesai dijalankan

Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Wisma Geylang Serai (WGS), Dr Mohd Maliki Osman mengumumkan bahawa gerakan mengumpul visi dan maklum balas mengenai usaha membangunkan Jalur Budaya Geylang Serai sudah selesai dijalankan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Wisma Geylang Serai (WGS), Dr Mohd Maliki Osman mengumumkan bahawa gerakan mengumpul visi dan maklum balas mengenai usaha membangunkan Jalur Budaya Geylang Serai sudah selesai dijalankan.

Gerakan tersebut berlangsung selama tiga bulan.

Berucap semasa acara ulang tahun pertama WGS hari ini (18 Jan), Dr Maliki yang juga merupakan Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar mendedahkan bahawa pihaknya mendekati sekitar 2,000 orang bagi mengumpulkan maklumat tentang Jalur Budaya Geylang Serai bagaimana yang diinginkan.

Golongan yang didekati itu cukup luas. Mereka, kata beliau, termasuklah para penduduk, badan-badan Melayu/Islam, golongan PMET dan belia, para pemimpin akar umbi serta para peniaga di kawasan Geylang Serai.

Menurut Dr Maliki lagi, hasil pengumpulan maklumat itu, pihaknya akan "segera mendedahkan dapatannya kepada masyarakat". Namun beliau tidak pula menyatakan tarikhnya.

Yang pasti, ia dijalankan di bawah gerakan SG Together yang melibatkan kolaborasi antara Pemerintah, rakan-rakan masyarakat, para pemegang taruhan dan orang awam.

Kawasan Jalur Budaya Geylang Serai, itu nanti menganjur dari Tanjong Katong Complex hingga ke Kelab Masyarakat Kampong Ubi dan akan memaparkan ciri-ciri budaya dan warisan kawasan itu.

WGS AKAN ANJUR ACARA-ACARA LEBIH BESAR

Sementara itu Dr Maliki berkata bahawa WGS juga sedang bersiap sedia untuk menganjurkan acara-acara lebih besar dan memberi khidmat-khidmat lebih baik lagi.

"Tempat ini yang sudah melihat pelbagai acara yang dianjurkan khas sejak 12 bulan lalu sudah diberi nama baru 'Persada Budaya'.

"Ia bertujuan menjadikan pentas ini lebih penting dan mencerminkan kemahuan kita untuk meningkatkan tahap persembahan yang dipentaskan bagi hiburan orang ramai," jelas Dr Maliki.

Beliau turut mengalu-alukan orang ramai agar membangunkan secara bersama acara, program-program dan mencipta idea-idea baru dengan WGS.

"Kini, WGS telah menjadi nadi masyarakat Melayu yang terus berdenyut kuat dan menjadi tempat yang disenangi ramai.

"Hasilnya, masyarakat menerima WGS dengan hati, minda dan tangan yang terbuka. Sokongan padu dan kehadiran masyarakat ke pusat ini menjadi satu penerimaan atau ‘stamp-of-approval’ dan membuat kami lebih bersemangat untuk mengemudi pusat sivik ini dengan sempurna," kata beliau.

TENDER BAZAR RAYA GEYLANG SERAI KINI DIBUKA

Dr Maliki hari ini juga berkongsi bahawa tender bahawa bagi Bazar Raya Geylang Serai kini sudahpun dibuka dan pihak WGS dan GRC Marine Parade akan menilai serta memberikan tender kepada bidaan yang berjaya tidak lama lagi.

Tahun lalu, Bazar Raya Geylang Serai boleh dianggap sebagai yang paling berjaya dalam tempoh lebih sedekad dengan pelbagai pembaharuan dibuat.

Gerai makanan di Bazar Geylang Serai (Gambar: Izzah Imran/BERITAmediacorp)

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Ini termasuklah lebih banyak makanan tradisional, ruang lebih teratur dan pengalaman lebih selesa.

Hasilnya, Bazar Raya Geylang Serai dikunjungi lebih dua juta orang tahun lalu - suatu jumlah rekod. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan